CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 512|Reply: 0

[Johor] Isu pembuangan sampah haram, bila nak selesai?

[Copy link]
Post time 4-6-2022 04:03 PM | Show all posts |Read mode

MOHD Yusof Pet (kanan) menunjukkan longgokan sampah haram di Jalan Cenderai 17, Taman Megah Ria yang menjejaskan sumber pendapatan para peniaga pasar malam berdekatan dan mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat. FOTO BERNAMA

Pasir Gudang: Peniaga pasar malam Jalan Cenderai 17, Taman Megah Ria, Masai di sini, mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera, bagi menangani isu pembuangan sampah haram yang berlarutan sejak lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Melayu Daerah Johor Bahru Mohd Yusof Pet berkata situasi berkenaan, bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa, malah ia turut menjadi ancaman kesihatan kepada peniaga dan pengunjung.

"Kami terpaksa menahan bau busuk yang kuat ketika menjalankan perniagaan dan kehilangan pelanggan, apabila mereka sering risaukan kebersihan makanan. Ada juga yang membatalkan hasrat untuk membeli setelah melihat barangan yang dijual dihinggapi lalat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pasar malam berkenaan, semalam.

Mohd Yusof, 63, berkata pelbagai platform digunakan untuk menyalurkan aduan termasuk menerusi dalam talian dan panggilan telefon, namun pihak berkenaan seolah memandang ringan terhadap masalah itu yang sekali gus menjejaskan sumber pendapatan dalam kalangan peniaga pasar malam di kawasan berkenaan.

"Misalnya, beberapa minggu lalu apabila sampah begitu tinggi, pihak berkaitan hanya mengambil separuh sahaja sampah yang ada dan selebihnya dibiarkan begitu sahaja. Apabila pembuang sampah melihat tiada tindakan dikenakan, mereka ulang membuang sampah ke tempat ini," katanya.

Mohd Yusof yang mewakili 249 peniaga pasar malam di kawasan itu berharap, PBT segera menyelesaikan masalah itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selain memasang kamera litar tertutup (CCTV), bagi mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab.

Menurut seorang peniaga ayam percik, Ahmad Zain, 50, longgokan sampah di hadapan tapak perniagaannya, membuatkan pengunjung berasa geli dan tidak mahu singgah ke kedainya kerana lalat terlalu banyak.

"Dari dulu sampah memang banyak begini, dengan baunya yang busuk dan sekarang sampah semakin bertambah. Pelanggan pun tak selesa pendapatan kami pun terjejas, hinggakan saya terpaksa memasang perangkap lalat namun lalat tetap banyak," katanya yang sudah enam tahun berniaga di kawasan itu.

Seorang lagi peniaga Oor Bee Shoo, 60, berkata selain mencacatkan pemandangan, longgokan sampah itu turut menyebabkan kehadiran pelbagai haiwan perosak dan anjing liar.

"Terlalu banyak sampah di sini, bukan sampah sahaja malah ada yang membuang paku yang boleh membahayakan kenderaan yang lalu lalang. Selain itu, ada juga yang membakar sampah sesuka hati membuatkan saya berasa pening dan loya," kata peniaga pakaian itu.

Terdahulu, tinjauan mendapati jarak longgokan sampah haram itu kurang lima meter daripada pasar malam berkenaan, manakala ketinggian sampah terbabit adalah setinggi khemah peniaga pasar malam di kawasan terbabit.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... am-bila-nak-selesai
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-12-2024 08:10 PM GMT+8 , Processed in 1.003281 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list