Scammer semakin agresif mencari mangsa dan terbaru mereka menggunakan wajah Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad pada gambar profil aplikasi WhatsApp.
Gambar profil menggunakan wajah Datuk Surina itu menggunakan nama Surina Aisyah.
 Kredit foto: FB AWAS Scam di Malaysia
Perkara ini terbongkar apabila mangsa membuat pendedahan di laman sosial Facebook (FB) dalam grup AWAS Scam di Malaysia yang mempunyai pengikut berjumlah 2,551 orang.
Dalam status itu, ibu beranak dua ini mendakwa dihubungi scammer berkenaan kononnya dia ada kaitan dengan kes lelaki yang terlibat dengan dadah dan wang haram.
Disebabkan kes itu membawa hukuman berat, maka panggilannya disambung kepada pegawai atasan bernama Surina Aisyah yang didakwa boleh membantu.
Sehinggalah dia yang mengaku bagai “dipukau” kemudiannya mengikut sahaja arahan “Surina Aisyah” ke mesin ATM untuk memasukkan wang berjumlah RM7,000 pada 2.40 petang, 28 Mei lalu.
Ibu ini mendakwa selepas itu dia diperintah “Surina Aisyah” supaya WhatsApp setiap sejam sehinggalah dia mula sedar menjadi mangsa scammer setelah WhatsApp tidak dibaca lagi pada waktu malam.
Apabila mangsa membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ ternyata nombor akaun bank itu telah tersenarai dalam laporan polis.
Dalam status itu, ibu berkenaan hanya meminta ahli grup untuk membantunya yang merasakan ditipu scammer, tetapi tidak berani untuk memberitahu suami dan ahli keluarga.
Sementara itu, Surina hanya mengetahui kejadian ini setelah ditag kakitangannya.
Dalam balasan pada komen itu, Surina berkata “berani sungguh guna gambar lama saya, tindakan lanjut akan diambil”.
Sementara itu, Surina ketika dihubungi berkata, beliau mendapat tahu menggenai perkara ini sejak semalam.
Malah, beliau telah memaklumkan kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.
Manakala Ketua Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, setakat belum ada laporan rasmi diterima.
“Sekarang polis sedang mengesan individu yang menggunakan gambar Ketua Polis Negeri ini,” katanya ketika dihubungi.
Sumber: Suara Merdeka |