Baru-baru ini, timbul perdebatan mengenai kesahihan penyakit kulit yang dihidapi oleh pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Ustaz Kazim Elias adalah disebabkan sihir atau sebaliknya hinggakan penyanyi dan pengarah, Mawi turut terpalit sama mengesahkan perkara berkenaan.
Mawi dalam satu temu bual bersama Harian Metro berkata, dia percaya bahawa masalah kesihatan yang menimpa pendakwah tersebut adalah disebabkan buatan orang kerana dia sendiri pernah melalui pengalaman yang sama.
Selebriti berusia 41 tahun itu menyifatkan mereka yang menganggap penyakit kulit dialami Ustaz Kazim adalah angkara sihir sebagai tidak logik berkemungkinan adalah individu yang tidak percaya pada perkara ghaib.
"Orang yang tak percaya benda ghaib mungkin akan anggap ia tak logik. Tetapi mereka yang betul-betul beriman, percaya benda ghaib, ia memang wujud sebab saya pernah lalui perkara seperti itu.
"Apabila saya berbual dengan ustaz mengenai perkara itu, keserasian kami kuat. Sebab itu jugalah saya buat cerita berkenaan. Kami lalui pengalaman sama. Saya yakin benda ghaib wujud sebab itulah saya nak kongsi cerita ini sebagai pengajaran buat semua," katanya.
Mengulas mengenai filem arahannya Zim Zim Ala Kazim yang menampilkan Ustaz Kazim sebagai tunggak utama, kata Mawi, filem berkenaan berkemungkinan akan ditayangkan pada tahun ini.
Awalnya, Mawi merancang filem tersebut akan ditayangkan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul menerusi saluran Astro First namun ada kemungkinan akan berubah ke panggung apatah lagi pawagam sudah mulai dibuka semula. -CARI
|