MELAKA – Seramai 11 individu termasuk lima remaja ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di hadapan sebuah sekolah di sini, kelmarin.
Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 21 tahun ditahan kira-kira pukul 6.30 petang di Jalan Telok Mas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran
@mohamad Zaki Omar berkata, kumpulan itu ditahan sepasukan Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Katanya, hasil soal siasat kesemua terlibat mengakui berkumpul di kawasan tersebut bagi melihat aktiviti lumba haram.
“Hasil maklumat orang awam, sepasukan HMPV IPD Melaka Tengah telah menyerbu dan menahan 11 individu untuk menjalankan pemeriksaan.
“Kita dapati mereka ini berkumpul di bahu jalan bagi menonton aktiviti lumba haram, malah lima daripadanya berusia 14 hingga 17 tahun dipercayai turut berlumba di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, susulan itu, polis telah mengeluarkan 68 saman POL.257 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.