Pelakon dan pengacara, Raja Azura, 49, sudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal bersama tiga orang anaknya sejak dua belas tahun lalu. Dia sama sekali tidak pernah rasa malu dengan statusnya sebagai janda.
Memetik laporan mStar, selebriti yang mesra disapa sebagai Kak Engku itu perkara yang paling penting bukanlah status perkahwinan seseorang namun sikapnya yang sentiasa menjaga nama dan maruah keluarga termasuklah bekas bapa mentua.
"Hakikatnya, memang betul pun kita janda. Bagi saya, yang penting adalah jaga tertib. Kita kena sedar diri yang kita ini ibu tunggal, jadi harus tahu adab sebagai seorang janda.
"Saya ada anak yang bersekolah dan menjaga kedua-dua ibu baoa saya. Walaupun saya sudah berpisah dengan bekas suami tetapi saya masih ada bapa mentua. Dia tetap bapa mentua saya sampai mati.
"Saya tak pernah rasa kecil hati sebab hakikatnya saya adalah janda yang tahu batas dan maruah keluarga. Apabila kita jaga tertib maka kita tak kisah orang panggil janda," katanya.
Ditanyakan mengenai pengganti teman hidup, pemilik nama sebenar Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin itu mengakui tidak pernah terfikir untuk berkahwin kerana tidak mahu lagu berdepan dengan masalah keluarga.
Tambahan pula, dia sudah bahagia menjalani kehidupan sehari-hari bersama anak-anaknya iaitu Megat Muhammad Raziq, Megat Luqman Hakim dan Puteri Mia Maizura.
" Orang selalu tanya saja soalan itu. Saya nak tahu, apa tujuan perkahwinan? Apa misi sebenar? Nak teman hidup? Anak-anak macam mana? Adakah teman hidup boleh terima? Lepas tu nak kenal lagi ipar-duia apatah lagi kalau kita tak tahu mereka suka atau tidak pada kita. Kita kenal dengan orang yang berduit, dah orang ingat kita cuma nak harta adik-beradik dia pula.
"Saya tak suka hal-hal begini sebab pengalaman yang berlaku pada hidup saya sudah cukup. Saya dah pernah berkahwin dan ada tiga orang anak. Syukur dapat besarkan mereka dari kecil. Saya bahagia dengan anak-anak. Saya tak perlu pasangan hidup.
"Orang nak pasangan hidup sebab mahu bahagia. Alhamdulillah, saya okay dan rezeki masih ada anak-anak," katanya yang bakal tampil dengan filem Tiga Janda Melawan Dunia.
Imbas semula, Raja Azura pernah mendirikan rumah tangga bersama Adzmin Osman, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Haji Aroff pada Mac 2001. Mereka bagaimanapun bercerai pada 28 September 2010. -CARI
|