ANTARTIKA: Di Antartika, kononnya terdapat makhluk seperti manusia yang memiliki tubuh gergasi dan berwarna putih bernama Ningen.
Dipetik dari Inf. News, Ningen adalah serupa dengan manusia kerana mempunyai kulit licin, boleh berdiri dan berjalan dengan kedua-dua kaki serta mempunyai lima jari kaki pada setiap kaki.
Difahamkan, badannya setinggi 20 ke 30 meter dan pernah dilihat dua kali oleh manusia.
“Asal-usulnya tidak diketahui kerana ada yang menyebut Ningen makhluk hidup, tetapi ada juga yang mengatakan ia adalah makhluk buatan manusia yang berasal dari planet luar atau dari dasar bumi,” katanya.
Majalah Mu di Jepun yang membahas fenomena ghaib pada November 2007 mendakwa Ningen adalah organisma tiruan yang dihasilkan secara rahsia oleh saintis Jepun dan ditempatkan di Antartika.
Pada masa itu, ada individu yang curiga dengan projek penyelidikan ikan paus oleh Kerajaan Jepun dan percaya Ningen adalah makhluk baharu yang dicipta oleh saintis.
Ningen juga didakwa kelihatan seperti ikan lumba-lumba di Peta Google.
Sehingga kini, tiada gambar dan video yang jelas menunjukkan bentuk Ningen dan Kerajaan Jepun tidak memberikan maklum balas yang kukuh.
Makhluk itu dikatakan pernah dilihat oleh nelayan dari Chile yang berlayar di perairan Selat Drake, pada Februari 1992.
Saksi kedua pula merupakan pasukan ekspedisi Jepun pada 2002 yang terperangkap semasa ribut salji di Antartika.-AGENSI