CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 951|Reply: 0

Teguhkan kekuatan ummah

[Copy link]
Post time 21-4-2022 11:14 AM | Show all posts |Read mode
Teguhkan kekuatan ummah


POLIS Israel berjaga di hadapan wanita muslim sedang membaca al-Quran di Masjd Al-Aqsa. FOTO AFP


Kebiadaban bangsa yang dilaknat oleh Allah SWT berulang kembali pada 13 Ramadan di Masjid Al-Aqsa di tanah suci umat Islam di bumi Palestin. Keangkuhan dan kesombongan bangsa terkutuk ini sengaja ditonjolkan lebih-lebih lagi ketika memasuki bulan suci bagi umat Islam.

Sejarah dunia tidak pernah lupa kebiadaban entiti haram ini menjajah negara Palestin melalui penipuan, penyelewengan dan penindasan. Kini negara haram Israel dilihat cuba untuk menunjukkan kuasa mereka dengan membantai ratusan umat Islam Palestin yang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

Pertempuran terbaharu berlaku selepas tiga minggu keganasan maut di Israel dan Tebing Barat yang diduduki dan ketika perayaan Paskah Yahudi serta Paskah Kristian bertindih dengan Ramadan, bulan suci umat Islam berpuasa. Terkini, 152 rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat keganasan pihak berkuasa Israel yang menyerang penunjuk perasaan Palestin yang bertempur dengan polis Israel buat kali pertama sejak permulaan Ramadan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres telah menyuarakan kebimbangan mengenai situasi keselamatan yang semakin merosot di Baitulmaqdis dan menggesa pihak berkaitan meredakan ketegangan. Beliau menegaskan provokasi di tapak suci itu mesti dihentikan bagi mengelakkan ketegangan lebih parah, namun pihak Zionis sama sekali tidak mengendahkan arahan badan dunia berkenaan.

Itulah realiti kebiadaban bangsa terkutuk ini. Tindakan pihak zionis ini jelas menunjukkan jenayah perang yang mereka lakukan secara terang-terangan pada siang hari. Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan pendirian tegas dengan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel ke atas penduduk dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa. Malaysia juga meminta masyarakat antarabangsa bersama-sama memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan Israel-Palestin.

Sebagai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia juga mengulangi komitmen akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Asia Barat. Pada masa sama, sokongan tidak berbelah bagi dizahirkan kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel, merealisasikan aspirasi menubuhkan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Di samping semua tindakan protes yang ditunjukkan oleh negara Islam dan masyarakat dunia, umat Islam sendiri perlu memperteguhkan kekuatan dan solidariti dalam menghadapi keangkuhan rejim zionis ini. Seluruh umat Islam perlu menggembleng kekuatan yang dimiliki iaitu melalui tindakan kebersamaan yang melibatkan persaudaraan umat Islam seluruh dunia.

Dengan kekuatan umat Islam yang mencecah 1.9 bilion di seluruh dunia dan agama kedua paling ramai penganut di dunia, pastinya tindakan yang bersifat solidariti bersama akan memberikan impak kepada Israel, sekutunya dan seluruh dunia.

Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa keangkuhan Israel ini boleh dihancurkan dengan strategi yang mengena dan menyeluruh melalui solidariti umat Islam dan juga masyarakat dunia. Secara asasnya, terdapat tiga strategi utama yang boleh dilaksanakan segera iaitu ekonomi, media sosial dan kebajikan.

Pertama, kekuatan ekonomi umat Islam sememangnya mampu memberikan kesan kepada ekonomi dunia, khususnya pihak Israel. Kempen pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutunya perlu digerakkan semula secara besar-besaran. Memang diakui, kempen sebegini dilihat lebih bersifat bermusim, namun sekiranya ia digerakkan secara berstrategi dan menyeluruh, pastinya akan memberi kesan yang lebih kuat.

Kempen boikot ini perlu dilaksanakan tiga kali setahun atau setiap empat bulan dengan memfokuskan kepada produk yang tertentu sahaja. Dengan strategi pemboikotan yang bersasar, ia mampu melumpuhkan ekonomi konglomerat Israel sekali gus menghapuskan penguasaan ekonomi mereka.

Kedua, kempen media sosial amat penting dan menjadi medium utama kepada penyampaian maklumat di seluruh dunia. Walaupun media sosial utama dunia dikuasai oleh Israel seperti Twitter, Instagram dan Facebook, namun dengan kekuatan solidariti umat Islam berjumlah 1.9 billion ini, ia mampu menggegar dunia serta mendedahkan kezaliman Israel kepada penduduk Palestin.

Pastinya terdapat usaha Israel untuk memadamkan maklumat berkaitan Palestin daripada rangkaian media sosial yang dikuasai mereka, namun dengan strategi dan kreativiti umat Islam seluruh dunia, isu ini akan berjaya dibangkitkan di persada dunia.

Kesedaran ini penting bagi memastikan seluruh masyarakat dunia mendapat maklumat yang telus dan tepat, walaupun cuba disembunyikan oleh Israel dan sekutunya. Simpati dan kesedaran masyarakat antarabangsa akan memberikan tekanan yang hebat kepada Israel untuk menghentikan kezaliman dan penindasan mereka kepada penduduk Palestin.

Ketiga, solidariti kebajikan umat Islam perlu digerakkan sepenuhnya di seluruh dunia bagi membantu rakyat Palestin. Saudara seakidah kita di Palestin sangat memerlukan bantuan umat Islam seluruh dunia. Mereka tidak memilih untuk berada di sana, namun mereka memikul tanggungjawab besar mewakili umat Islam bagi mempertahankan bumi Al-Aqsa daripada dijajah oleh zionis Israel.

Bersempena Ramadan yang mulia ini, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk berjihad bersama rakyat Palestin. Salurkanlah sumbangan jihad kita melalui saluran bantuan terus kepada rakyat Palestin.

Di Malaysia, terdapat puluhan NGO yang mempunyai hubungan langsung dengan umat Islam di Palestin. Sumbangan daripada umat Islam walaupun bernilai RM1 sahaja akan menjadi besar dan kuat lantaran solidariti serta kebersamaan yang akan menghasilkan impak berganda.

Umat Islam di seluruh dunia diseru untuk bersama-sama menyumbangkan dana bagi membantu rakyat Palestin. Sekiranya seluruh umat Islam di dunia menyalurkan bantuan kewangan, pastinya negara haram Israel akan musnah akibat daripada kekuatan dan sokongan kewangan umat Islam seluruh dunia.

Keangkuhan yang ditunjukkan oleh rejim Israel ini pastinya tidak akan kekal lama dan akan musnah akhirnya. Penyelesaian hanya akan diperoleh melalui keteguhan kesatuan dan soladiriti umat Islam seluruh dunia kepada Palestin. Pada Ramadan yang penuh keberkatan ini, umat Islam mampu menggunakan senjata doa bagi menghancurkan Israel laknatullah ini.

Marilah kita bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT pada bulan mulia ini untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin, diberikan kekuatan kepada umat Islam seluruh dunia serta memohon kepada Allah SWT Yang Maha Perkasa untuk menghancurkan Israel bersama sekutunya.

Umat Islam juga perlu melazimi Qunut Nazilah dalam solat mereka untuk memohon bantuan daripada Allah SWT agar memberikan kekuatan dan kemenangan kepada umat Islam di seluruh dunia. Doa, rintihan dan munajat seluruh umat Islam untuk Palestin pasti Allah SWT tidak akan sia-siakan.

Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu agama Islam, khususnya melibatkan isu umat Islam Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk istiqamah dalam perjuangan membantu Palestin sehingga ke akhir hayat sebagai Mukmin.

Hulurkanlah apa sahaja bantuan yang termampu, agar apabila kita disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti apa sumbangan kita kepada bumi suci Palestin, maka kita mempunyai jawapan yang tuntas mengenainya. Marilah kita bersama membantu umat Islam di seluruh dunia kerana umat Islam itu bersaudara, ibarat pepatah Melayu, 'Cubit paha kiri, paha kanan juga terasa'.



Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (Zawaf), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... hkan-kekuatan-ummah

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:10 PM GMT+8 , Processed in 0.454802 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list