|
ZAIRIL Khir Johari ketika meninjau keadaan di 'log boom' Sungai Pinang yang dipenuhi sampah-sarap di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
GEORGETOWN: Katil, sofa, peti ais, sisa plastik dan motosikal merupakan antara sisa sampah yang dikutip pekerja pembersihan di ‘log boom’ Sungai Pinang di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setiap hari sejumlah satu tan sisa sampah dikutip di log boom berkenaan yang bertujuan memerangkap sampah daripada terus mengalir ke laut.
“Setiap hari kira-kira satu tan sampah dikutip di ‘log boom’ ini dan kita berusaha meningkatkan tenaga kerja untuk memastikan kutipan sampah itu dapat ditingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat ‘log boom’ Sungai Pinang, di sini hari ini.
Menurut Zairil, sikap masyarakat merupakan antara punca utama mengapa usaha kerajaan negeri untuk membersihkan Sungai Pinang menjadi sukar.
“Kita boleh tingkatkan kekerapan pembersihan sampah di Sungai Pinang, namun kita perlukan kerjasama daripada orang ramai.
“Kita mohon kerjasama orang ramai jangan membuang sampah ke dalam Sungai Pinang lagi dan membantu kerajaan menjadikan Sungai Pinang bersih kembali,” katanya.
Dalam pada itu Zairil berkata, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang fasa dua yang bernilai RM150 juta dijangka bermula Oktober tahun ini selepas tertangguh hampir 20 tahun.
Ujar beliau, tender terbuka untuk projek tersebut dijangka dilaksanakan suku ketiga tahun ini dan merupakan projek penting dalam membantu membersihkan Sungai Pinang.
“Selain bertujuan untuk mengatasi masalah banjir, projek RTB ini turut membantu membersihkan Sungai Pinang di mana kita akan membina longkang selari di sepanjang sungai ini,” katanya.
Tambahnya, longkang selari akan menjadi longkang di bawah tanah dan dapat menghalang air perbandaran serta sampah sarap daripada terus mengalir ke dalam Sungai Pinang.- UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... boom-sungai-pinang/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|