JEDDAH, ARAB SAUDI – Polis Jeddah menahan seorang lelaki kerana menyimbah asid pada isterinya sehingga menyebabkan kematian wanita itu dan mencederakan anak perempuan mangsa, lapor akhbar Saudi Gazette.
Pusat talian kecemasan polis Jeddah sebelum itu menerima laporan mengenai seorang wanita dan anaknya yang disimbah asid di kediaman mereka di daerah Al-Samir, timur Jeddah.
Polis daerah Al-Samir berjaya memberkas suspek kerana didakwa menyimbah asid ke atas isterinya. Foto:SPA
Sebaik sahaja anggota-anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui wanita tersebut dan anaknya dalam keadaan parah akibat melecur disimbah asid.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital King Fahd, namun wanita berkenaan meninggal dunia sementara anaknya daripada perkahwinan terdahulu cedera parah dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Polis berkata, suspek melarikan diri selepas menyerang kedua-dua mangsa. Dia bagaimanapun berjaya diberkas tidak lama selepas itu.
Menurut sumber polis, suspek memukul isterinya dan menyimbah asid ke atas mangsa dan anaknya selepas bertelagah mengenai hal keluarga.
Kedua-dua mereka dikatakan berkahwin 10 bulan lalu. – CARI
Sumber: Kosmo |