CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 389|Reply: 0

[Sabah] Enam ditahan terlibat kes gaduh guna senjata tajam

[Copy link]
Post time 21-3-2022 05:31 PM | Show all posts |Read mode


TAWAU: Enam lelaki disyaki terlibat dalam kes rusuhan dan pergaduhan menggunakan senjata tajam di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas di sini berjaya ditahan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, sebelum bertindak mengesan suspek yang terlibat.

Katanya, hasil tindakan segera yang dijalankan, pasukan polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dan dua warga asing termasuk tiga yang cedera berumur 20 tahun hingga 70 tahun.

“Pasukan polis juga masih meneruskan siasatan dan mengesan suspek lain yang masih bebas bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca disebabkan salah faham mengenai isu pembaikan jambatan di kawasan yang terlibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Lima daripada mereka telah direman selama empat hari, manakala seorang suspek direman sehari bagi membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Jasmin berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelakkan kekeliruan, kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum.

“Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan jenayah di talian 013-8608200 atau Balai Polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa klip video di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki memegang senjata tajam termasuk parang dan kayu.

Turut tular beberapa keping gambar menunjukkan indivdu cedera dengan berlumuran darah dipercayai terbabit dengan pergaduhan berkenaan.

Klip video itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meminta pihak polis mengesan kumpulan lelaki terbabit untuk diambil tindakan.
oleh
Hamzah Sanudin
credit


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 04:24 PM GMT+8 , Processed in 0.067717 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list