|
Gorontalo: Pasangan suami isteri, Kamaruddin Djiwa, 56, dan isterinya, Najerah Kama, 48, tidak menyangka mereka akan dinobatkan sebagai pasangan mempunyai anak paling ramai di Indonesia pada tahun ini.
Pasangan suami isteri dari Desa Katoi, Kolaka Utara, Sulawei Tenggara itu mempunyai seramai 16 anak iaitu lapan lelaki dan lapan perempuan.
Pada usia 23 tahun, Najerah melahirkan anak pertamanya dan anak terakhir dilahirkan pada 2016 ketika dia berusia 42 tahun.
Foto: Tribunnews
Kini, pasangan suami isteri itu hidup bahagia dengan keluarga besarnya, selain sudah dikurniakan seorang cucu.
“Seramai 14 orang anak saya dilahirkan di rumah, manakala dua lagi di hospital.
“Banyak anak kami dilahirkan di rumah kerana rumah kami terletak jauh dari hospital kerana kami bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman.
“Jarak dari rumah ke hospital di bandar adalah sejauh 87 kilometer,” katanya kepada Tribunnews.
Anak sulung pasangan itu, Nurfaaiqah Kamaruddin berusia 25 tahun juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Selain itu, enam daripada anak pasangan itu merupakan pelajar sekolah tahfiz.
Kesemua anak pasangan itu dilahirkan dalam tempoh 19 tahun dengan jarak usia setahun hingga dua tahun.
Dalam pada itu, Kamaruddin dan isterinya bersyukur dengan anugerah Allah SWT dan tidak pernah berasa terbeban mempunyai anak yang ramai.
“Banyak orang bertanya kepada saya, tidak penatkah menguruskan anak yang ramai? Banyakkah belanja yang perlu dikeluarkan untuk anak-anak?
“Semua itu pasti dirasakan oleh setiap ibu bapa, namun demi kasih sayang dan amanah, kami membesarkan setiap anak dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya. -CARI
Sumber: Utusan Online |
|