Klang: Tempahan baju raya tahun ini tidak semeriah dahulu apabila peniaga butik mendakwa menerima sambutan dingin daripada pelanggan meskipun kurang 100 hari lagi umat Islam menyambut Ramadan pada April ini.
Kebanyakan rakyat masih was-was tentang peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 yang kemungkinan banyak kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pemilik butik Mega Mahir Sdn. Bhd., Shahrizal Md. Sari berkata, lazimnya ketika ini dia tidak menang tangan menerima tempahan untuk perayaan, tetapi kali ini jumlah pelanggan yang ingin menempah baju raya kurang 60 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Shahrizal Md. Sari menunjukkan baju Melayu yang siap untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di butiknya di Jalan Kebun, Klang, Selangor. Foto: Utusan
“Pelanggan dalam keadaan berhati-hati sama ada boleh menyambut hari raya puasa di kampung dan beraya dengan prosedur operasi standard (SOP) dengan arahan khusus daripada kerajaan berikutan peningkatan jumlah jangkitan covid ketika ini.
“Rakyat mengharapkan sambutan raya kali ini lebih meriah disebabkan arahan PKP oleh kerajaan selama dua tahun jangkitan Covid-19 melanda negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Jelasnya, kebiasaannya butiknya menerima tempahan baju raya seawal empat bulan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri dan menutup tempahan selewat-lewatnya dua minggu sebelum bulan Ramadan berakhir.
Bagaimanapun, Shahrizal berharap dalam tempoh kurang dua bulan ini tempahan baju raya kembali rancak.
Dalam pada itu, pemilik butik di Jalan Kebun itu menyatakan berlaku peningkatan permintaan terhadap tempahan baju korporat daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan komuniti.
“Mutakhir ini, permintaan terhadap pakaian itu agak tinggi apabila kegiatan luar dewan dibenarkan sejak empat bulan lalu,” ujarnya. – CARI
Sumber: Utusan Online |