CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 297|Reply: 0

[Sabah] Empat Pusat Produk IKS akan dibuka tahun ini

[Copy link]
Post time 27-1-2022 09:41 PM | Show all posts |Read mode


GERAN: Hajiji (dua kiri) diiringi Joachim (kiri) menyerahkan Geran BAIKS kepada wakil usahawan IKS Ranau pada majlis itu. Turut kelihatan Masidi (tengah) dan Shahelmey (kanan).

RANAU: Empat Pusat Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dibuka tahun ini bagi membantu mempromosi serta menjual produk keluaran tempatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan akan membuka pusat berkenaan di Tawau, Keningau, Kota Marudu, dan Tuaran.

Katanya, satu lagi pusat yang sama di Papar kini sedang dibangunkan dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.

"Pembukaan empat Pusat Produk IKS ini adalah antara dua inisiatif yang diambil kerajaan bagi membantu usahawan IKS mempromosi dan menjual barangan keluaran mereka.

"Dalam Belanjawan 2022, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) diperuntukkan sebanyak RM5.76 juta di bawah perbelanjaan perbekalan bagi menubuhkan empat lagi Pusat Produk IKS tahun ini.

"Saya berharap pembukaan lebih banyak Pusat Produk IKS akan membantu menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah sekali gus memberi impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah di Kiaburi Plaza di sini hari ini.

Hajiji berkata, buat masa ini, tiga Pusat Produk IKS sudah beroperasi iaitu di Wisma Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu, di Beaufort serta terbaharu di daerah ini.

Menurutnya, satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pemasaran Produk IKS Sabah di pasaraya tempatan di negeri ini, yang mana DIDR bekerjasama dengan Pasaraya Bataras memasarkan produk keluaran Sabah ke seluruh cawangan pasar raya berkenaan.

"Selain di Bataras, produk IKS juga dipasarkan di seluruh Kedai Mesra di Sabah dan Labuan dengan berkolaborasi bersama PETRONAS Dagangan Bhd khususnya produk makanan.

"Program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu usahawan IKS yang terjejas akibat pandemik COVID- 19," katanya.

Beliau berkata, Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah adalah salah satu inisiatif yang disenaraikan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi 2021.

Pihaknya mengucapkan tahniah kepada MID dan agensi di bawahnya kerana berjaya melaksanakan satu lagi inisiatif Pelan Pembangunan SMJ dengan jayanya.

Hajiji berkata, penganjuran Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah tepat pada masanya bagi membantu merancakkan semula ekonomi domestik dan membantu usahawan IKS mempromosikan barangan buatan tempatan Sabah.

"Saya berharap kempen ini menjadi satu titik permulaan kepada usaha bersama di antara kerajaan, industri dan juga rakyat.

"Ia bagi memastikan kejayaan kita memulihkan ekonomi dapat diteruskan dengan kejayaan merancakkan semula ekonomi negeri.

"Diharap usahawan dan peniaga di Sabah tidak hanya memfokuskan perniagaan mereka dalam pasaran tempatan sahaja, sebaliknya menggunakan sepenuhnya platform e-dagang yang kini menjadi pilihan ramai," jelasnya.

Katanya, pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan komuniti perniagaan beralih kepada penggunaan teknologi digital secara meluas.

Sehubungan itu, beliau yakin barangan buatan Sabah mempunyai potensi dan kualiti untuk bersaing dengan produk dari luar negara.

Dalam pada itu, Hajiji berharap berharap 12 syarikat dari Sabah yang menyertai World Dubai Expo 2020 pada Disember lalu, dapat menyebarluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Timbalan Menteri Dalam Negeri II yang juga Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin; dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya.


utusanborneo.com.my/2022/01/27
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 12:02 AM GMT+8 , Processed in 0.071498 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list