Edited by Vellfire at 26-1-2022 02:41 PM
KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji kejayaan Penjara Sarawak merekodkan kadar residivis terendah dan mengawal masalah kesesakan banduan di enam institusi penjara di negeri ini.
Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Dato Nordin Muhamad berkata Penjara Sarawak merekodkan kadar residivis atau banduan yang berulang kali menjalani hukuman di penjara terendah iaitu 0.25 peratus berbanding kadar purata residivis di Jabatan Penjara Malaysia (JPM) sebanyak 13.86 peratus.
Selain itu katanya Penjara Sarawak secara keseluruhan berjaya mengawal masalah kesesakan banduan di enam institusi penjara di negeri ini sepanjang tahun 2021.
Menurutnya daripada enam institusi penjara di Sarawak hanya dua iaitu Penjara Miri dan Penjara Puncak Borneo mengalami kesesakan banduan manakala empat lagi iaitu Penjara Pusat Sri Aman, Penjara Pusat Sibu, Penjara Pusat Miri, Penjara Pusat Limbang dan Pusat Koreksional Bintulu merekodkan jumlah banduan di bawah kapasiti institusi ditetapkan.
Beliau menambah secara keseluruhannya Penjara Sarawak telah mencapai pengurangan banduan sebanyak 9 peratus daripada kapasiti yang telah disediakan.
"Berdasarkan pencapaian Penjara Sarawak yang amat membanggakan, pihak kami di peringkat ibu pejabat akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kejayaan Penjara Sarawak.
"Maknanya untuk kita melihat apakah uniknya Sarawak, sebab kesesakan banduan boleh dikawal dengan kadar kesesakan munasabah, kalau 10 peratus atau ke bawah isu kesesakan tidak timbul tetapi bagi kes Sarawak secara keseluruhannya ia 9 peratus kurang daripada jumlah kapasiti ditetapkan, bukan sesak.
"Atau dengan kata lain, kapasiti itu mampu menampung lebih daripada jumlah banduan yang ada sekarang, kalau di tempat lain, banyak penjara berdepan isu kesesakan banduan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di sini, hari ini.
Nordin (enam kanan) merakam kenangan bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia serta penerima-penerima pingat tertinggi Jabatan Penjara Malaysia. Turut kelihatan Sabariah (tujuh kanan). - GAMBAR PENERANGAN
Dalam ucapan perasmiannya Nordin berkata kajian ke atas pencapaian membanggakan Penjara Sarawak sangat penting dan diharap dapat dilakukan segera lebih-lebih lagi dari segi kes residivis.
"Kadar residivis direkodkan Penjara Sarawak tidak sampai satu peratus memerlukan kajian terperinci adakah disebabkan sistem, proses keutamaan yang berbeza dipraktikkan atau pun kebudayaan dan cara hidup peradaban masyarakat Sarawak yang boleh dicontohi.
"Dalam soal kita hari ini untuk menegakkan hak asasi manusia, hukuman penjara adalah hukuman terakhir. Perkara inilah yang telah diamalkan di negara maju hanya satu pertiga daripada jumlah pesalah jenayah ditempatkan di institusi penjara.
"Manakala dua pertiga lagi berada dalam komuniti, tinggal bersama keluarga mereka dan tetap berupaya menyara keluarga dan masalah sampingan yang timbul daripada hukuman penjara tidak akan timbul," katanya.
Pada majlis tersebut seramai 21 orang penerima pingat tertinggi Jabatan Penjara Malaysia iaitu Pingat Johan Bakti Setia, Pingat Komisioner Jeneral Penjara dan Pingat Jasa Penjara yang dianugrah sempena sambutan Hari Penjara ke-231 pada tahun lalu.
Beliau berkata penganurah pingat-pingat tersebut bagi mengiktiraf sumbangan kakitangan uniform yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan turut dianugerahkan kepada orang awam serta agensi luar yang member sumbang bakiti tidak berbelah bahagi dalam program juga aktiviti anjuran Jabatan Penjara Malaysia.
Mendahului senarai penerima pingat tinggi Jabatan Penjara Malaysia ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Tranformasi, Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr. Sabariah Putit yang menerima Pingat Johan Bakti Setia (JBS).
Menurut Nordin penganugerah pingat JBS merupakan pengiktirafan tertinggi dalam hirarki Jabatan Penjara Malaysia kepada individu terpilih di atas kesetiaan berbakti dalam sistem pemulihan jabatan selain mengangkat maruah kendiri penghuni lantas memartabatkan jabatan.
"Datu Sabariah adalah insan di sebalik usaha kolaborasi pintar antara Penjara Puncak Borneo bersama Kerajaan Negeri Sarawak terdiri daripada Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) untuk mewujudkan Bengkel Songket di Penjara Pusat Borneo," katanya.
Majlis diteruskan dengan penganurahan Pingat Komisioner Jeneral Penjara (Kelas Pertama) diikuti Pingat Komisioner Jeneral Penjara (Kelas Kedua) dan Pingat Jasa Penjara.
utusanborneo.com.my/2022/01/26 |