Umum tahu penyanyi lagu Boneka, Ernie Zakri sarat hamil anak sulung dan bila-bila masa saja akan bersalin. Melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), bagaimanapun tidak mungkinlah wanita itu dapat beraksi pada malam pertandingan yang bakal diadakan Mac hadapan kerana masih berada dalam fasa berpantang.
Setakat ini, pengganti Ernie masih menjadi teka-teki. Wanita itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mendedahkan siapakah gerangan penyanyi yang bakal mendendangkan Boneka sebagai wakil dirinya.
Status Ernie sebagai anak saudara kepada Anuar dan Ziana Zain itu dilihat sebagai salah satu kelebihan. Peminat mencadangkan mana-mana dari dua nama berkenaan menggantikan tempat Ernie.
"Boneka adalah lagu yang sangat menarik. Saya tidak tahu siapa Ernie pilih untuk menggantikannya tetapi setakat ini bukan saya. Kalau pun ditawarkan, saya tidak tahu. Lagu itu sangat susah.
"Mungkin ada yang anggap lagu itu mudah tetapi sebenarnya susah. Saya harap Ernie jumpa pengganti yang bagus," katanya kepada Astro Gempak. -CARI