SUMBANGAN: Abdul Halim (tiga kanan) menyampaikan sumbangan tersebut kepada Muliyadi.
TAWAU: Kumpulan Sawit Kinabalu mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan kelengkapan sukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tawau, baru-baru ini.
Peralatan sukan yang disampaikan kepada Koordinator kampus UiTM Tawau, Muliyadi Guliling itu termasuklah bola sepak padang, futsal, bulu tangkis dan banyak lagi.
Ketua Perladangan dan Perniagaan 1 Sawit Kinabalu, Abdul Halim Alimudidin berkata sumbangan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu institusi yang memerlukan.
“Kita melihat UiTM sangat memerlukan kelengkapan barangan sukan bagi kemudahan penuntut yang mahu menjalankan aktiviti bersukan.
“Justeru, Kumpulan Sawit Kinabalu berbesar hati untuk memberikan sumbangan tersebut, disamping mengeratkan lagi silaturrahim bersama pihak kampus UiTM Tawau,” katanya.
Katanya, Kumpulan Sawit Kinabalu bukan sahaja sebagai syarikat yang berjaya dalam bidang perniagaan tetapi ia juga banyak terlibat dengan misi bantuan dan CSR di negeri ini.
“Pihak syarikat sentiasa memberikan bantuan mengikut keperluan kepada mana-mana institusi dan masyarakat di negeri ini menerusi program CSR yang dijalankan.
“Kami berharap semua pihak mendoakan kecemerlangan Kumpulan Sawit Kinabalu supaya lebih banyak yang dapat dibantu di negeri ini,” katanya.
Turut hadir, Pengurus Besar Sawit Kinabalu Wilayah Tawau, Zarkarni Samsul; Pengurus Kanan ladang Sungai Balung, Azeman Rasley dan Pegawai Eksekutif Kanan UiTM, Asmad Mohd Noor.
utusanborneo.com.my/2022/01/19 |