Edited by Vellfire at 15-1-2022 09:56 AM
BAU: Mangsa ribut di Kampung Opar di sini menarik nafas lega apabila rumah mereka yang terjejas akibat kejadian ribut pada 4 Januari lepas dibaiki segera.
Antara penduduk terjejas, Daid Nigop (gambar di atas), 67, yang ditemui di rumahnya berkata bahagian bumbung dapur rumah dan stornya musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.
“Masa kejadian itu sekitar jam 6.20 petang, kami sekeluarga duduk di beranda rumah apabila secara tiba-tiba ribut datang.
“Dalam masa beberapa minit sahaja bumbung dapur rumah dan stor musnah, mujur tiada yang cedera,” katanya yang mengalami kerugian antara RM50,000 hingga RM80,000. Tambah Daid lagi, bukan sahaja rumah terjejas teruk, beliau turut kehilangan dokumen penting seperti surat tanah dalam kejadian itu.
Susulan kejadian itu Daid sekeluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Opar selama empat malam. Sehingga kerja-kerja baik pulih selesai katanya, Daid dan keluarga kini tinggal di rumah kebunnya.
Daid juga berharap pihak kontraktor akan mempercepatkan kerja-kerja baik pulih supaya dapat kembali semula ke rumah.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang mengalami kerosakan teruk rumah Nojiw Ngenang (gambar), bersyukur kerja-kerja baik pulih segera dilaksanakan selepas kejadian. “Kerja-kerja baik pulih dimulakan sebaik selepas kejadian pada 4 Januari lalu namun disebabkan cuaca hujan terpaksa ditangguhkan.
“Bagaimanapun kerja-kerja baik pulih kini hampir siap dan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang atas bantuan ini,” katanya.
Meskipun kejadian ribut itu menjejaskan teruk rumahnya, namu Nojiw bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera.
utusanborneo.com.my/2022/01/15 |