Penyanyi rap Drakeo the Ruler, 28, maut akibat lehernya ditikam selepas turun pentas membuat persembahan di festival Once Upon A Time di sini, semalam.
Sewaktu kejadian, pemilik nama sebenar Darrell Caldwell itu serta-merta dikejarkan ke hospital selepas kritikal. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia.
Kredit foto: The New York Times
Menurut laporan Los Angeles Times, mendiang diserang sekumpulan orang pada waktu kejadian. Belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Acara terbabit juga kemudian terus dihentikan susulan tragedi itu. Penganjurnya, A Live Nation menerusi sebuah kenyataan memaklumkan berlaku pertengkaran di lorong belakang pentas sebelum itu.
"Sebagai menghormati dan atas arahan pihak berkuasa tempatan, artis dan penganjur memutuskan untuk tidak teruskan acara. Jadi, festival itu ditamatkan sejam awal," katanya.
Kematian penyanyi itu jelas mengejutkan ramai termasuk bintang rap, Drake dan Snoop Dogg. Drake jelas merasa kehilangan dengan pemergian rakannya itu.
"Ini tidak mungkin benar, apa yang berlaku? Semangat saya sentiasa membara dengan menyerap tenaga kamu. RIP Drakeo," katanya di Twitter.
Manakala, Snoop yang menjadi bintang utama dan tidak sempat beraksi di acara itu turut menyampaikan ucapan takziah buat keluarga mangsa.
"Saya sangat berduka dengan insiden yang berlaku semalam di Once Upon a Time di LA festival. Ucapan takziah saya buat keluarga dan orang tersayang Drake the Ruler," katanya.
Terdahulu, Drakeo pernah dipenjara pada 2018 berhubung kes bunuh pada 2016. Bagaimanapun, dia kemudian dibebaskan pada tahun lalu.
Dia turut merakamkan albumnya berjudul Thank You for Using GTL yang dilancarkan pada Jun tahun lalu ketika masih berada dalam penjara.
Sumber: Harian Metro |