|
Golongan orang kelainan upaya (OKU) yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 digesa untuk hadir menerima suntikan itu.
Ahli Dewan Negara (Wakil OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, golongan berkenaan perlu memanfaatkan peluang diberikan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga golongan OKU juga digalakkan untuk mengambil dos itu kerana mereka menjaga golongan berkenaan yang juga dikategori antara golongan berisiko tinggi.
"Saya bersyukur kerajaan memberi peluang untuk kita semua mendapat dos penggalak jadi saya menyarankan kepada sahabat (OKU) apabila diberi peluang mendapatkan dos itu silalah ambil peluang itu.
"Bagaimanapun kita masih perlu berhati-hati dan menjaga diri. Ibu bapa dan penjaga kita juga (disarankan) mengambilnya kerana kalian yang menjaga kami," katanya pada program santai berkayak OKU Perak di Tasik Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh, di sini, hari ini.
Program berkenaan sempena sambutan Hari OKU sedunia yang disertai 50 peserta OKU fizikal kaki dan tangan serta berkerusi roda dari Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.
Perasmian program berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Negeri Perak (BAIDURI) yang juga isteri Menteri Besar, Datin Seri Aezer Zubin.
Ras Adiba yang juga presiden OKU Sentral berkata, OKU yang belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera berbuat demikian untuk menikmati kemudahan yang diperoleh pemegang kad OKU termasuk untuk memudahkan urusan pengambilan vaksin.
"Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah komuniti OKU dan di Malaysia (dianggarkan) ada 4.7 juta orang OKU, tetapi yang mendaftar dengan JKM hanya 600,000 saja.
"Justeru saya mohon kepada ibu bapa dan semua OKU janganlah malu, mendaftar dengan JKM. Ibu bapa (dinasihatkan supaya) memberi peluang kepada mereka untuk mengikuti kelas supaya boleh berdikari. Berilah sokongan supaya dapat membantu mereka," katanya.
Ras Adiba berkata, biarpun masih boleh berkomunikasi melalui aktiviti dalam talian tetapi tidak semua individu betah duduk di rumah saja dan aktiviti luar seperti program ini membantu mengurangkan tekanan golongan OKU sepanjang pandemik wabak itu.
"Sebenarnya pandemik ini ramai di antara kami juga melalui keadaan begitu sukar terutama kawan kami yang hilang pekerjaan, kawan yang buta tidak tahu jarak fizikal kerana tidak nampak dan ada juga sahabat yang melalui keadaan tertekan dan kemurungan," katanya.
credit
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|