Pengarah Shuhaimi Lua Abdullah menyifatkan penyanyi dan pelakon Ziana Zain seorang yang profesional dan seronok bekerjasama dengannya.
Shuhaimi berkata, Ziana tidak pernah berlagak diva dan menunjukkan disiplin yang tinggi ketika berlakon di bawah arahannya.
Foto: IG
"Kami sekarang terbabit dengan penggambaran sebuah telefilem dan ia kali kedua saya bekerja dengannya selepas drama bersiri Kampung Kolesterol yang disiarkan menerusi TV3 sebelum ini.
"Ziana memang seorang yang sangat bagus. Dia sanggup datang awal ke lokasi dan bersarapan dengan kru produksi. Biasalah produksi makan di set dan kadang-kadang di tempat yang kurang sempurna. Namun, dia tetap sertai dan beramah mesra dengan semua semasa makan.
"Dari segi masa dan persiapan, saya puji dia kerana sudah bersedia secukupnya. Ini yang buat saya kadang-kadang puji artis veteran berbanding artis baharu," katanya kepada Harian Metro.
Shuhaimi dan Ziana, Foto: Harian Metro
Shuhaimi berkata, Ziana banyak menghabiskan masa di lokasi dengan menelaah skrip dan buat rujukan untuk wataknya.
"Dia berbincang dan buat latihan berkali-kali dengan pasangan lakonnya agar lakonan mereka sempurna dan memuaskan hati peminat.
"Agak berbeza dengan segelintir pelakon baharu yang banyak menyendiri dan asyik main telefon. Berkenaan skrip pula, dia amat jarang 'kantoi'. Malah dialog untuk pelakon lain pun dia ingat. Itulah dia Ziana," katanya.
Shuhaimi bagaimanapun tidak mengambil kesempatan dan akan berusaha membebaskan Ziana dari lokasi sebelum jam 10 malam.
"Harus diingat, selepas jam 10 malam 'bateri' (tenaga) dia akan lemah. Saya dah faham perkara ini. Cuma kadang-kadang ada benda tak dapat dielakkan memaksa penggambaran lambat habis.
"Dia okey untuk buat cuma dia akan mengantuk. Jadi saya sebagai pengarah faham kepenatan yang dialaminya. Dari pagi dia dah komited bekerja dan kalau boleh saya memang nak lepaskan dia cepat dari set agar dia dapat balik berehat," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro
|