|
utusan Malaysia, Bahagian Hiburan.
Betul ke????
KEINTIMAN pelakon kacak, Remy Ishak, 28, dengan aktres popular, Maya Karin sebelum ini dikatakan menjadi punca penceraian aktres tersebut dengan suaminya, Muhammad Ali Abdullah.
Keakraban mereka itu sering diperkatakan pihak media mahupun para peminatnya.
Setelah penceraian Maya dan suaminya disahkan pada 16 Julai lalu, penggiat media mula mendapatkan komen Remy namun dia gagal dihubungi.
Ketika mengunjungi lokasi penggambaran filem Nur Kasihbaru-baru ini di Tanjung Karang, Kuala Selangor, media menemui Remy untuk mendapatkan reaksi pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular itu.
Menurut Remy, sikapnya yang berhati-hati tatkala menjawab soalan wartawan ketika diajukan hal berkaitan Maya menyebabkan isu itu dipanjangkan oleh sesetengah pihak.
Katanya, dia bukannya ingin mengelak, cuma itu menunjukkan dia tidak tahu menahu atau terlibat dengan isu keretakan rumah tangga bintang Pontianak Harum Sundal Malam itu.
"Kami rapat pun disebabkan kami diuruskan oleh pengurusan artis yang sama.
"Hubungan kami hanya sebagai kawan dan tidak lebih dari itu. Kami berjumpa pun jika ada majlis yang melibatkan kami berdua.
"Selain itu, kami memang jarang berjumpa. Malahan selepas penceraiannya disahkan, khabar Maya pun saya tidak berkesempatan untuk tahu apatah lagi untuk bertemu dengannya," jelasnya yang sibuk dengan penggambaran filem Nur Kasih.
Remy dan Maya kini diuruskan oleh Satu Management Sdn. Bhd. Namun, menurutnya, ia tidak bermakna mereka berpeluang untuk selalu berjumpa.
"Sudahlah, saya tak mahu diri saya dikaitkan dengan Maya lagi. Saya berlakon hanya untuk mencari rezeki untuk diri dan keluarga saya," jawab Remy tegas.
Walaupun ada cerita kurang enak yang sampai di telinganya, jujur dia menjawab, semua itu adalah di luar jangkaan.
"Memang saya tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku dalam kehidupan saya.
"Tujuan saya berlakon hanyalah untuk cari makan. Saya tidak pernah bersedia untuk menghadapi gosip sebegini.
"Melainkan kalau saya benar-benar melakukan kesilapan. Barulah saya tahu nak jawab," luahnya.
Hubungan Remy dan Maya dikatakan telah mula akrab sejak sama-sama terbabit dalam pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima, November tahun lalu.
Ia ditambah pula apabila kemesraan mereka dilihat ketika hadir memeriahkan Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands April lalu. |
|