CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9336|Reply: 0

jom belajar seni buat panjut buluh!!!

[Copy link]
Post time 16-10-2008 06:51 PM | Show all posts |Read mode
Terangi malam tujuh likur

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

Mengapakah panjut yang menjadi amalan tradisi penduduk Kuala Kangsar, Perak yang sering dilihat pada majlis sambutan hari raya dan majlis-majlis keraian ini menjadi kebanggaan mereka?





BILA menyebut sambutan Aidilfitri, selain ketupat, lemang dan rendang, memang raya terasa kurang meriah tanpa pelita yang menghiasi halaman rumah.
Umumnya, pelita raya adalah bekas bulat kecil pelbagai warna yang diisi minyak tanah dan sumbu. Lazimnya, ia mula dipasang seminggu sebelum Aidilfitri atau lebih dikenali sebagai malam tujuh likur.

Namanya mungkin berbeza di antara satu tempat dengan tempat yang lain. Orang Sarawak memanggilnya tuntung, penduduk bandar lebih selesa mengenalinya sebagai pelita hiasan manakala penduduk di Perak pula menggelarkannya sebagai panjut.

Di negeri yang pernah sinonim dengan perlombongan bijih timah, pengaruh panjut biasanya lebih terserlah di daerah Kuala Kangsar.

Panjut bukan sekadar pelita yang diperbuat daripada buluh dan digantung pada kayu pacak. Lebih menarik, ia digubah secara kreatif oleh penduduk setempat dengan pelbagai bentuk yang disukai seperti kubah masjid, bintang, tanglung, bulan dan lain-lain.

Malah keghairahan penduduk berlumba-lumba meletakkan deretan panjut di sekeliling rumah dan di tepi-tepi jalan di seluruh kampung menjadikannya umpama satu pesta yang sering ditunggu-tunggu.

Lazimnya, pada malam 27 Ramadan, pasti akan diadakan pertandingan panjut antara kampung dan zon. Rutin ini bukan sahaja menghidupkan suasana Aidilfitri tetapi memupuk muafakat di kalangan masyarakat setempat.

Pertandingan itu pula berbeza-beza di antara zon. Misalnya, jika di Kota Lama, bukan sahaja rumah malah seluruh perosok kampung dihias dengan panjut berwarna-warni.

Namun di Sayong, panjut hanya di pasang di sebuah rumah sahaja di sesebuah kampung.



HANYA buluh minyak sesuai digunakan untuk membuat
kerangka panjut kerana sifatnya yang mudah dilentur.

Biasanya rumah Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Panjut yang dipasang itu akan dihasilkan secara gotong-royong oleh penduduk kampung dan mengambil masa hingga berminggu-minggu.

Antara kriteria yang diambil oleh juri yang biasa terdiri daripada pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar ialah keceriaan, konsep, idea kreatif dan semangat kerjasama.

Bagi seorang penduduk, Wan Azhar Wan Ibrahim, 50, suasana itu menggambarkan uniknya panjut Kuala Kangsar yang membezakan pemasangan pelita raya di bandar diraja itu berbanding tempat lain.

Menceritakan asal-usul panjut, beliau yang juga anak jati Kuala Kangsar berkata, tidak dapat dipastikan bila tradisi itu bermula. Namun mengikut kata orang-orang tua, pemasangan panjut dimulakan oleh penduduk Kota Lama yang merupakan antara pusat pemerintahan awal Kesultanan Melayu Perak sebelum ia tersebar ke bahagian lain di Kuala Kangsar dan daerah-daerah lain di negeri ini.

"Ada yang menyifatkan amalan memasang panjut ini merupakan adat resam masyarakat Melayu yang dipengaruhi elemen Hindu, namun yang pasti niat penduduk kampung hanyalah untuk memeriahkan suasana hari raya dengan nyalaan pelita.

"Apatah lagi pada zaman dahulu tiada tenaga elektrik seperti sekarang," jelasnya.

Katanya, selain dilakukan pada malam tujuh likur, pesta panjut juga diadakan secara besar-besaran seperti pada hari keraian sambutan ulang tahun kelahiran Sultan Perak dan pernikahan diraja.



WAN AZHAR WAN IBRAHIM menjunjung sebatang buluh
untuk dijadikan akan dijadikan batang panjut.



Beliau yang kini menetap di Kampung Changkat Padang, Bukit Chandan, Kuala Kangsar berkata, kenangan ketika dibawa bersiar-siar di sekeliling kampung dengan basikal bagi melihat keindahan panjut pada malam 27 Ramadan setiap tahun masih diingati sehingga kini.

"Bapa-bapa saudara sering membawa saya berbasikal melihat panjut sebagai upah berjaya menunaikan ibadah puasa, menyaksikan ribuan panjut pelbagai bentuk itu bagaikan hiburan yang begitu mengasyikkan bagi kanak-kanak seperti saya pada ketika itu," katanya.

Teruja dengan kecantikan panjut, beliau mengambil inisiatif belajar menghasilkan panjut sendiri daripada ahli keluarganya yang lebih tua dan panjut pertama yang berjaya dibuatnya ketika berusia 12 tahun.

Sejak itu, hampir setiap tahun Wan Azhar membuat panjut daripada buluh setiap kali Ramadan. Malah, beliau adalah antara orang harapan setiap kali pesta panjut sempena sambutan ulang tahun kelahiran Sultan Perak.

Namun seperti kebanyakan penduduk Kuala Kangsar lain, Wan Azhar akur dengan arahan daripada Pejabat Agama Islam Perak yang melarang sambutan pesta panjut pada pertengahan tahun 1980-an.

Tegahan itu dibuat bagi menyedarkan segelintir penduduk yang semakin leka dan taksub melihat dan bertanding dalam pesta panjut yang bermula sejurus waktu berbuka puasa sehingga lewat malam pada malam-malam terakhir Ramadan.

JULIYALIL MOHD. ZARAAI membuat lubang pada buluh.

Wan Azhar berkata, walaupun larangan itu hanya melibatkan pesta panjut, trend pemasangan panjut di laman-laman rumah di daerah ini juga menerima kesan semakin merosot semenjak itu kecuali di beberapa buah kawasan di Kota Lama dan Sayong.

Beliau yang juga kakitangan Hospital Kuala Kangsar (HKK) berkata, peredaran masa dan penggunaan pelita plastik dan lampu berwarna-warni turut membantu 'memalapkan' era keemasan panjut tradisional.

Begitu pun, pesta panjut yang dihidupkan semula sempena ulang tahun kelahiran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke-79 dan perkahwinan diraja Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim pada tahun lalu.

Wan Azhar berkata, beliau yang mewakili majikannya diberi tanggungjawab menghasilkan perahu panjut. Ia berupa bulan sabit yang diperbuat daripada buluh dan kayu pancang yang melayari tebing Sungai Perak sempena pesta tersebut.

Ia secara tidak langsung menyemarakkan semangatnya untuk meraikan Aidilfitri kali ini dengan hamparan panjut di laman rumahnya.

"Sempena sambutan Aidilfitri kali ini, saya berazam untuk menghasilkan panjut yang seratus peratus tradisional menggunakan bahan-bahan semula jadi dan kerangka asasnya diperbuat daripada buluh.

"Malah buat pertama kalinya saya mahu anak saya, Wan Mohd. Azuan, 18, ikut sama menghasilkan panjut ini daripada proses pertama mencari buluh di hutan agar dia boleh mahir seterusnya mewarisi kemahiran saya," katanya.



TANAH liat digunakan untuk membalut sumbu panjut.



Seminggu sebelum hari raya, lelaki separuh abad itu bersama anaknya dan ditemani seorang rakan, Juliyalil Mohd. Zaraai, 42, memulakan misi pertama membuat panjut dengan mencari buluh di hutan berhampiran kampungnya.

Dengan berbekalkan beberapa bilah parang dan gergaji, dua beranak itu dan Juliyalil meredah hutan yang terletak bersebelahan Sungai Perak bagi mencari buluh minyak yang sesuai untuk dijadikan kerangka panjut.

Sambil berjalan, Wan Azhar menerangkan bagi menghasilkan panjut asas, kayu, paku, tali guni, minyak tanah dan tanah liat diperlukan selain bahan asasnya, iaitu buluh.

Mereka menemui serumpun buluh minyak yang dicari-cari. Sambil menepuk sebatang buluh berkenaan, Wan Azhar mengangguk-angguk tanda buluh itu sesuai untuk dijadikan panjut.

Biasanya buluh minyak merupakan pilihan utama untuk menghasilkan panjut kerana saiznya yang sederhana dan sifatnya yang boleh dilentur.

"Bukan semua buluh sesuai dibuat panjut ni. Buluh yang terlalu ruas kecil macam buluh runcing tidak sesuai manakala kalau ruas besar sangat, orang buat meriam sahaja," katanya sambil tersengih.

Setelah puas hati dan pasti tentang keselamatan mereka daripada diserang penyengat, Wan Mohd. Azuan mengambil parang bagi memulakan kerja-kerja memotong buluh minyak tersebut.

"Baca bismillah dan selawat dulu kemudian takik buluh secara menyerong dari kanan ke kiri," katanya memberi arahan.

Kerja-kerja memangkas buluh minyak berjalan lancar. Kira-kira 10 batang buluh yang masing-masing sepanjang hampir sepuluh meter berjaya di tebang.



PROSES pembuatan panjut bergantung pada bentuknya.



Buluh-buluh tadi kemudiannya dibuang daun-daunnya sebelum dikerat kecil-kecil berukuran kira-kira semeter setiap satu dengan gergaji.
Sesekali Wan Mohd. Azuan yang agak pendiam menyeka peluh yang bercucuran di mukanya apatah lagi itulah kali pertama dia memotong buluh untuk dibuat panjut.

" Pergi ke tebing sungai, korek sedikit tanah liat kat situ kemudian masukkan dalam beg plastik ni, adalah gunanya nanti," arah Wan Azhar kepada anaknya.

Walaupun wajah remaja yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedikit berkerut mungkin tidak memahami keperluan tanah liat yang diminta tetapi dia patuh dengan arahan itu.

Setiba di rumah, mereka mula memasang kayu pacak yang hujungnya terdapat paku di sekeliling laman rumahnya.
Buluh yang ditebang ditebuk untuk meletakkan sumbu yang diperbuat daripada tali guni yang dibalut dengan tanah liat.

Jika sukar mendapatkan tanah liat, pelapik nipis seperti tin susu tepung atau milo boleh menjadi alternatif. Sebuah lubang juga perlu ditebuk untuk mengisi minyak tanah atau diesel.
Panjut yang sudah siap itu kemudiannya digantung di hujung paku pada batang kayu yang dipacak di sekeliling rumah.

Selain panjut asas itu, panjut juga boleh digubah dalam beberapa bentuk yang disukai namun yang paling popular ialah kubah masjid, bintang dan tanglung.
Untuk menghasilkan panjut berkenaan, buluh perlu diraut halus agar ia mudah dilentur untuk dijadikan bentuk-bentuk yang dikehendaki.

BEGINILAH tanah liat digunakan untuk menyumbat sumbu pada lubang.

Bagi menghasilkan panjut bintang misalnya, sekurang-kurang 10 raut buluh diperlukan. Kadangkala ia mengambil masa hampir dua minggu untuk disiapkan bergantung kepada bentuknya.

Setelah panjut itu siap, tempat meletak lilin akan disediakan di tengah-tengah bentuk tersebut dan digantung pada kayu pacak.





padan ler mak menakan aku yg duk kat kg talang kat kuala sana selalu sebut pasai  panjut buluh bila nak sambut raya...  kalu malam tujuh lekoq ajer.. mula sebok laki dia dok nak carik buluh... ghopanya orang perak mmg buat benda2 nih!!  aku dok ingat buluh untuk buat lomang ajork..  

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 12:06 PM GMT+8 , Processed in 0.081525 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list