CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5035|Reply: 1

KWSP organisasi keselamatan sosial cemerlang dunia

[Copy link]
Post time 16-2-2007 10:19 AM | Show all posts |Read mode
KWSP organisasi keselamatan sosial cemerlang duniaOleh S. ANAND KUMAR
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah sebuah organisasi keselamatan sosial nasional yang beroperasi melalui skim kumpulan wang di negara ini.


Secara tidak langsung kumpulan itu menjadi nadi utama kepada golongan pekerja di negara ini.
Pelanggan atau ahli utama mereka ialah pekerja sektor swasta dan pekerja tidak berpencen di sektor awam.
Bertindak sebagai sebuah agensi kerajaan, KWSP sentiasa bertekad untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada ahli-ahlinya.


Ketika ini KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dan jumlah majikan yang berdaftar dengan kumpulan itu adalah di sekitar 400,000.Selaras dengan slogan perkhidmatan kumpulan itu, ``Anda Keutamaan Kami'', KWSP memberi penekanan utama terhadap sistem penyampaian perkhidmatan yang cepat, tepat, selesa dan mesra pelanggan.


Maka dengan berbekalkan segala komitmen itu adalah tidak menghairankan jika KWSP dianugerahkan Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, tahun lalu.


Kini KWSP sudah bersedia untuk menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sebagai yang terbaik kepada rakyat negara ini.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Organisasi dan Perancangan Strategik) KWSP, Rusma Ibrahim berkata, kini pihaknya berdepan dengan satu visi penting yang perlu dilaksanakan bersama anggota-anggotanya.

Sosial


Kata beliau, ketika ini pihaknya bukan sahaja ingin menjadikan KWSP sebagai agensi kerajaan terbaik di negara ini malah mahu menjadikan kumpulan itu sebagai organisasi keselamatan sosial yang cemerlang di dunia.


Menurut Rusma, beliau percaya dan yakin kedua-dua cabaran itu tidak mustahil untuk KWSP capai dalam tempoh terdekat ini.
``Ini tidak menjadi satu perkara mustahil untuk kita capai. Ini kerana selama ini pun kalau kita melihat KWSP tidak berada di bawah kedudukan yang merosot berbanding organisasi-organisasi lain.


``Kita sentiasa dihormati sebagai sebuah organisasi yang mengendalikan urusan dana kewangan pekerja.


``Oleh sebab itu kita mahu menjadi yang terbaik di dunia ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Rusma, pihaknya bukan sahaja ingin menjadi yang terbaik dari segi pengurusan pelanggan malah mahu mencapai kejayaan yang membanggakan pada aspek lain seperti pelaburan, pengurusan sumber manusia dan urus tadbir yang baik.
``Sebab itulah kita meletakkan visi supaya menjadi yang terbaik di peringkat global,'' katanya.


Menurut beliau, selain itu, KWSP juga sentiasa memantau bagi memastikan majikan mencarum wang pekerjanya.
``Di Asia Tenggara, kita merupakan organisasi yang terbaik dalam mengutip caruman. Kadar majikan yang gagal mencarum adalah di sekitar tiga peratus.


``Kita akan terus berusaha untuk mengurangkan kadar itu di sekitar dua peratus.


Bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan, kita memerlukan satu pasukan penguatkuasaan yang baik,'' ujarnya.
Tambah beliau, bagi mempertingkatkan sistem pengkomputeran KWSP, kumpulan itu telah menggunakan struktur sistem teknologi maklumat baru bermula awal Januari lalu.


Penukaran itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan KWSP kepada para pelanggannya.
``Kita tidak boleh hanya bergantung pada sistem lama atau yang manual. Dunia semakin canggih, kita perlu mengikuti peredaran dan perkembangan teknologi.


``Sistem teknologi maklumat baru ini dapat meningkatkan kecekapan operasi kita,'' katanya.Menurut Rusma, proses mengutip caruman KWSP daripada majikan dan seterusnya memasukkannya ke dalam akaun setiap ahli yang masih mencarum dan memproses pengeluaran simpanan ahli serta melaburkan (simpanan) tersebut - merupakan tugas yang dilakukan oleh kumpulan itu setiap hari.


Sebagai sebuah organisasi yang berunding dengan wang pekerja, KWSP mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk memastikan semua operasinya berjalan lancar.


``Ini adalah duit pekerja. Kami diberi tanggungjawab besar. Oleh demikian kami perlu pastikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami dilaksanakan.


``Kita tidak mahu apabila esok seorang pekerja itu datang mengeluarkan wangnya, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah,'' katanya.Kata beliau, dokumen Belanjawan yang disediakan KWSP adalah sejajar dengan dasar perbelanjaan kerajaan yang berlandaskan kepada prinsip perbelanjaan berhemah dan berkesan serta Perancangan Strategik 3 Tahun KWSP (2005-2007).


Tambahnya, proses perancangan Belanjawan KWSP berasaskan hala tuju, perancangan strategik dan bisnes serta belanjawan dilaksanakan, dipantau dan dikawal mengikut pusat keuntungan menggunakan Sistem Pengurusan Kewangan dan Pentadbiran Bersepadu (IFAMS).


``Bagi mengukur pencapaian prestasi pengurusan pula, satu kaedah yang dikenali sebagai Balanced Scorecard (BSC) telah digunakan oleh KWSP bermula tahun lalu.


``Satu Jawatankuasa Pengurusan Risiko turut ditubuhkan bagi menangani risiko pelaburan akibat daripada jumlah portfolio pelaburan yang besar,'' kata beliau.


Menurut Rusma, KWSP juga menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kos bagi mengawal perbelanjaan yang dibuat oleh organisasi itu.


``Kita akan pastikan setiap perbelanjaan yang dibuat adalah berbaloi kepada organisasi.


Kata beliau, organisasi itu juga tidak pernah bertolak ansur dalam soal integriti.


Tambahnya, KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas kakitangan yang melanggar etika atau disiplin organisasi itu.


``Kalau kita mendapati pegawai atau kakitangan kita menyalahgunakan kuasa atau menjual maklumat kepada pihal lain, tindakan akan terus diambil ke atas mereka,'' katanya.


Sementara itu, Pusat Panggilan KWSP diwujudkan pada tahun 2003 bagi menyalurkan semua panggilan pertanyaan ke satu pusat khusus, sekali gus membolehkan pelanggan mendapatkan maklum balas yang tepat, konsisten dan pantas.


Selain itu, KWSP turut memperkenalkan i-Akaun pada tahun lalu bagi memudahkan ahli dan majikan yang mencarum dengan kumpulan itu membuat pembayaran caruman serta pemeriksaan baki.

Rekod


i-Akaun membolehkan ahli menyemak penyata akaun semasa dan tahun sebelumnya, menyemak status permohonan pengeluaran semasa dan rekod pengeluaran sebelumnya, kemaskini maklumat serta pengiraan jumlah layak dikeluarkan.
Majikan juga boleh menyemak denda yang dikenakan sekiranya lewat membayar caruman, kemaskini alamat serta mengakses borang A yang siap diisi butiran majikan.


Difahamkan lawan web kumpulan itu menggunakan ciri-ciri keselamatan seperti penggunaan enkripsi SSL 128-bit yang menepati standard industri, penggunaan kata laluan abjad angka selain meminta pengguna mengambil sendiri nombor pin di pejabat KWSP berdekatan.


Kumpulan itu juga memperkenalkan m-Akaun yang membolehkan ahli dan majikan menerima maklumat terkini mengenai akaun mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).


m-Akaun mempunyai sistem sekuriti yang baik dan ditawarkan kepada pemegang i-Akaun.


Kemudahan (m-Akaun) itu membolehkan ahli mendapatkan maklumat seperti profil ahli, baki akaun semasa dan tahunan, caruman ahli dan majikan serta rekod pengeluaran.


Majikan pula boleh memperoleh profil mereka seperti nombor majikan, nombor pendaftaran syarikat, nama syarikat yang didaftarkan dengan KWSP dan status mereka.


E-Kiosk sangat popular dan merupakan perkhidmatan inovatif yang membolehkan ahli mendapatkan penyata KWSP menggunakan MyKad menerusi terminal elektronik yang ditempatkan di pejabat negeri dan cawangan KWSP.


Perkhidmatan ini, sekali gus membolehkan pencarum mengurangkan masa menunggu di kaunter.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-4-2007 01:20 PM | Show all posts
MCA sokong idea KWSP untuk suami mencarumkan isteri
27-04-2007 07:55:41 PM  

KUALA LUMPUR:  Wanita MCA menyambut baik cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya ahlinya mencarumkan sekurang-kurangnya RM50 untuk isteri atau ibu bapa mereka.

Timbalan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata pihaknya amat bersetuju dengan cadangan KWSP itu yang dianggap satu pengiktirafan kerajaan terhadap wanita di negara ini.

"Tetapi saya merasakan caruman RM50 sebulan itu adalah agak rendah dan saya cadangkan supaya jumlah caruman itu dinaikkan dan jika boleh diwajibkan kepada setiap suami," katanya selepas merasmikan Majlis "Eye On Malaysia"  Ibu Tunggal dan Anak Yatim Bersama Meraikan Hari Ibu dan Hari Wanita Antarabangsa anjuran MST AD Suria Sdn Bhd di sini hari ini.

"Sekiranya ia dapat diwajibkan kepada semua ahli KWSP, maka ia akan dapat menjamin hari tua isteri tersebut dan juga ibu tunggal.

"Selain itu, tempoh hayat rakyat di negara kita semakin meningkat, maka sekiranya wanita tidak ada simpanan KWSP, mereka akan menghadapi masalah kehidupan harian di hari tua nanti," kata Chew yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli KWSP adalah dibenarkan untuk membuat caruman kepada isteri atau ibu bapa sekiranya cadangan KWSP untuk menggubal Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 diluluskan Dewan Rakyat. BERNAMA
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 02:25 AM GMT+8 , Processed in 0.054351 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list