CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12
Return to list New
Author: Syd

BEKAS BANDUAN

[Copy link]
 Author| Post time 16-6-2010 11:49 AM | Show all posts
Spurned by society, they choose jail
2010/06/16
By Aidi Amin and Noor Hazwan Hariz Mohd
news@nst.com.my

SOCIETAL rejection and the lack of follow-ups on ex-convicts have been pointed out as the main causes of recidivism.

Criminologist Associate Professor Datuk Abdul Halim Sidek said rejection prevented ex-criminals from rejoining mainstream society.

"After serving their sentences, these ex-convicts have revolved and are ready to join the society to start anew.

"However, after living in prison for a period of time, they tend to face problems adjusting to society," he said.

"It gets worse when they are not given a second chance. It is like society has its mind set about ex-prisoners.

"Even factories are reluctant to employ them. How then can these ex-convicts lead a normal life?"


Halim, who is also a law lecturer at Universiti Teknologi Mara (UiTM), proposed the setting up of an independent body to monitor ex-convicts.

"Like after-sale services by companies, there should be a centre for these people to turn to when they face difficulties.

"In prison, they are provided with food and shelter but when they go out, they have to fend for themselves, with no support from anybody. This is not an easy task and if not assisted, they will most probably go back to committing crime."


Crime analyst Kamal Affandi Hashim said ex-convicts became repeat offenders as "they could not function as normal human beings outside of prison".

"I have come across cases of repeat offenders who commit crimes after their release just to be caught and sent back to prison.

"They were not given a chance by society, so they chose to go back to prison where there is food and shelter."

Kamal is of the view that congestion in prisons could be reduced if illegal immigrants serving jail terms were put in a different facility under the supervision of the Immigration Department.

"The illegal immigrants are causing the congestion in our prisons. They are sent there not to be rehabilitated."

Advance Tertiary College law lecturer Mary George said there was always a conflict between prisoners and society.

This "societal rejection" is what academicians refer to as post-prison stigmatisation.

"The problem arises when a first-time offender is ostracised, making him believe that he is meant to be a criminal.

"All of us have roles to play in life, but the moment a man is imprisoned, the dominant label held will be that of an ex-convict."

Lawyer T. Vijayandran said ex-convicts normally could not find their way back into society.

"The society has become so complex and trust is not something that is gained easily these days."
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 5-7-2010 10:44 AM | Show all posts
Nasib bekas banduan 'merempat' terbela


2010/07/05

PETALING JAYA: Nasib bekas banduan yang ‘merempat’ kerana tidak diterima keluarga kini terbela apabila kerajaan menyediakan rumah untuk menempatkan mereka dan turut membantu mencari pekerjaan.

Dalam usaha membanteras bekas banduan kembali melakukan kegiatan jenayah lampau, Rumah Halfway disediakan bagi memantau dan memberi peluang kepada bekas banduan menikmati kehidupan seperti orang lain.

Difahamkan, sebanyak tiga peratus bekas banduan kembali semula ke penjara daripada sejumlah 1,400 bekas banduan yang dibebaskan bagi dalam tempoh Julai 2008 sehingga Julai tahun ini.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, banduan sering kali dilabelkan sebagai sampah masyarakat ekoran kesalahan yang dilakukan, namun mereka tidak sewajarnya disisihkan dan perlu diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Saya menyokong usaha kerajaan menyediakan sebuah kediaman yang dinamakan ‘Rumah Halfway’ sebagai tempat tinggal bekas banduan yang tidak diterima keluarga sementara mereka mendapat pekerjaan untuk menyara kehidupan masing-masing.

“Sehingga kini, hanya empat orang bekas banduan antaranya dua wanita mendiami kediaman itu yang mampu memuatkan seramai 25 penghuni dalam satu masa,” katanya pada sidang media ketika melawat rumah berkenaan di sini, semalam.

Difahamkan, hasil bantuan pihak Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Wilayah Persekutuan, semua penghuni rumah itu sudah mendapat pekerjaan sebagai pelayan restoran.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-9-2010 03:07 PM | Show all posts
Khamis September 30, 2010
Harapan 'Bersinar Semula' Di Sebalik Tembok Besi

Oleh NURQALBY MOHD REDA

KUALA LUMPUR: "Bila ditahan dalam tembok besi, masa depan kelihatan begitu pudar".

Itulah kata-kata yang boleh menggambarkan keadaan mereka yang didapati bersalah dan terpaksa menjalani hukuman penjara, lebih-lebih lagi untuk tempoh yang lama atau seumur hidup.

Namun ramai di antara umum tidak mengetahui kehidupan sebenar penghuni di penjara-penjara di seluruh negara selepas dijatuhi hukuman akibat jenayah yang dilakukan.

Ada antara penghuni ini merasakan mereka masih punya harapan untuk meneruskan kehidupan dengan mencari masa depan yang lebih baik walaupun banyak masa yang telah dihabiskan di sebalik tirai besi itu.

Bagi Izam (bukan nama sebenar), 22, yang terpaksa menjalani hukuman penjara 10 tahun menganggap kehidupan di sebalik tembok yang memisahkannya dengan dunia luar sejak 2008 adalah satu takdir.

Izam yang merupakan anak kedua dari tiga beradik boleh dikatakan pelajar yang agak pandai dalam pelajaran bila mencatat A bagi setiap subjek dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan 3A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan keputusan itu, dia diterima masuk ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara dengan mengambil kursus kejuruteraan elektronik.

"Kalau saya tak masuk ke sini (dalam penjara) dah tentu saya dah habiskan pengajian saya yang hanya tinggal dua semester sahaja lagi ketika itu," katanya yang mencatatkan keputusan cemerlang CGPA 3.74 pada peperiksaan akhir semester empat sebelum ditahan di tirai besi itu.

Izam yang merupakan penghuni Penjara Kajang memberitahu Bernama beliau juga mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester ketika berada di IPTA.

Ibu Bapa Mati Di Tangan Sendiri

Izam berkata kejadian yang menyebabkan beliau menjadi penghuni penjara berlaku apabila seorang sepupunya mengatakan mereka sekeluarga 'sakit' dan perlu diubati.

"Seorang sepupu saya mengatakan ibu bapa berpenyakit misteri dan dia mempunyai ilmu yang boleh mengubati penyakit itu".

Terpengaruh dengan kata-kata sepupunya itu, Izam dan ibu bapanya bersetuju dan mengambil keputusan ke rumah sepupunya di ibu negara untuk dirawat.

"Kami pergi ke rumah dia (sepupu). Sampai di sana, sepupu meminta saya dan seorang lagi sepupu yang lain memukul ibu bapa saya untuk menghilangkan 'sesuatu' dalam badan mereka.

"Ibu bapa saya dipukul sehingga mereka tidak sedarkan diri. Saya turut terkena (pukulan) tetapi tidaklah seteruk mana. Kami seolah-olah dipukau dan tidak merasa sakit apabila dipukul.

Izam berkata dia sedar ibu bapanya meninggal apabila pihak polis datang menahan dia bersama dua lagi sepupunya pada malam sebelum menjelangnya hari raya.

Ekoran kejadian itu Izam ditahan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas hukuman membunuh tanpa niat dan dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun.

Kisah Khaleq

Bagi seorang lagi penghuni Penjara Kajang, Khaleq (juga bukan nama sebenar), 24, episod hitamnya bermula bila beliau mahu keluar dari belenggu kemiskinan.

Beliau sanggup merantau dari Sabah ke Kuala Lumpur semata-mata dengan niat untuk membantu keluarga dan mencari wang bagi menyambung pelajaran.

"Di Sabah, saya bekerja sebagai pembuat kek di sebuah kedai kek. Dulu saya bersekolah hanya sampai darjah tiga...saya terpaksa berhenti sekolah awal sebab tak ada duit nak bayar yuran dan belanja sekolah.

"Mak dengan ayah hanya bekerja sebagai penoreh getah, jadi duit menoreh hanya cukup-cukap makan kami sekeluarga," katanya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik.

Khaleq berkata beliau datang ke Kuala Lumpur disebabkan tawaran dari ejen pekerjaan yang mengatakan terdapat kerja kosong sebagai pembuat kek di Puchong, Selangor.

"Ajakan rakan dan upah yang besar menyebabkan saya tidak ragu-ragu untuk datang ke Kuala Lumpur.

"Rupa-rupanya kerja yang dimaksudkan ejen itu bukannya sebagai pembuat kek tetapi sebagai tukang masak di sebuah restoran masakan Cina", kata Khaleq.

Dia berkata akibat tidak pandai memasak, dia seringkali menjadi mangsa marah majikannya.

"Memang saya tidak tahu memasak...saya hanya mempunyai kemahiran membuat kek. Namun begitu saya tetap meneruskan kerja-kerja saya walaupun dikatakan lembap oleh majikan," katanya.

Setelah hampir lima bulan bekerja, Khaleq tidak menerima sebarang upah dari penat lelahnya.

"Satu sen pun saya tak terima dari penat lelah saya selama lima bulan bekerja di sana. Jadi satu hari saya minta kad pengenalan yang majikan saya simpan, namun dia enggan memberi malah mengugut saya jika mahu kad pengenalan saya dikembalikan, saya perlu membayar pampasan kepadanya sebanyak RM2,000".

Marah dengan tindakan majikannya, Khaleq bertekad untuk berhenti kerja dan keluar dari rumah majikannya yang dihuninya sejak bekerja di situ.

"Malam itu berlakulah segala-gala. Saya cuba nak lari keluar namun berjaya diketahui majikan. Kami bertengkar sehingga saya mencapai sebilah pisau yang berada di meja pemotong daging dan menikam dia sebanyak dua kali.

"Kemudian... saya langsung tak ingat apa-apa. Apa yang saya tahu selepas kejadian itu, saya terus keluar dari rumah dan berjalan menuju ke Lapangan Terbang Subang selama dua hari. Dalam otak masa itu memang ingat nak balik Sabah aje," katanya.

Khaleq berkata sejurus dia sampai di lapangan terbang itu, dia ditahan polis.

"Rupa-rupanya saya bukan sahaja bunuh majikan, tetapi juga anak lelakinya yang berusia dua tahun...memang saya tak sedar dan tak ada niat nak lakukan perkara itu," katanya menyesal.

Ekoran kejadian itu, Khaleq dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan ditahan sebagai Tahanan Limpahan Sultan (TLS) yang mana akan hanya dibebaskan jika mendapat pengampunan daripada Sultan.

Peluang Belajar Di Penjara

Walaupun ditakrifkan sebagai banduan, namun mereka tetap diberi kemudahan pendidikan yang sama seperti masyarakat di luar.

"Di sini kami dilayan sama seperti mereka di luar. Penjara ini dah macam sekolah asrama penuh bagi saya. Cuma yang kurangnya kami tidak bebas bergerak dan keluar ke mana-mana," kata Izam.

Menyambung pelajaran dalam Diploma Pengurusan Pentadbiran, Izam tetap bersyukur kerana diberi peluang oleh Jabatan Penjara untuk menyambung pelajarannya.

"Saya kini belajar dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Pensyarah akan datang ke penjara untuk mengajar kami pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Manakala hari-hari biasa saya akan belajar secara online melalui modul-modul yang disediakan oleh pihak universiti," katanya yang akan menamatkan pengajian pada 2014.

Sementara itu bagi Khaleq, yang sedang menjalani kursus ijazah Pentadbiran Perniagaan OUM, walaupun kejadian jenayah yang dilakukan itu telah memusnahkan masa depannya, namun semangat Khaleq untuk menimba ilmu tidak pernah pudar.

Katanya, menjadi sebahagian warga di sini membuatkan dirinya lebih matang dalam mengawal tingkah-laku sehingga membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam sembilan tahun yang lalu.

"Kalau saya tidak ada di sini mungkin peluang untuk belajar itu tidak ada dan mungkin saya tidak akan menjadi seorang Islam," kata Khaleq.

"Saya mendapat dorongan guru-guru dan kakitangan penjara. Mereka yang menyokong saya untuk terus belajar. Oleh itu saya bertekad mengambil SPM dan STPM walaupun saya ketinggalan begitu jauh di alam persekolahan.

Khaleq berkata walaupun masa depannya kabur, tetapi dia tetap bersemangat untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

"Susah nak dapat peluang belajar seperti ini. Kalau di luar sudah tentu kos bermain di fikiran...tetapi peluang (belajar) ini ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Penjara dan untuk itu saya akan tamatkan pengajian ini walaupun belum tentu nasib saya baik untuk mendapat pengampunan dan pembebasan". - BERNAMA
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 17-2-2011 08:21 AM | Show all posts
Ambil bekas banduan bekerja

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 16 Feb. – Pihak swasta perlu tampil memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan bagi mengelakkan mereka terjebak semula ke kancah jenayah.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye (gambar) berkata, pihak swasta perlu membuka peluang tersebut dalam menangani masalah jenayah yang serius ketika ini.

“Berilah peluang pekerjaan kepada bekas banduan yang telah menjalani pemulihan dengan baik supaya mereka tidak kembali ke kancah jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pencegahan jenayah di Penjara Penor, di sini hari ini.

Lam Thye berkata, di negara ini terdapat banyak industri kecil dan sederhana (IKS) yang memerlukan tenaga kerja.

“Jadi daripada mereka mengambil pekerja asing lebih baik mereka mengambil bekas banduan.

“Pekerjaan yang diberikan kepada bekas banduan ini perlulah berasaskan kepada kemahiran yang mereka belajar di dalam penjara,” katanya.

Oleh itu katanya, dengan kemahiran yang ada, ia mungkin dapat membantu mereka keluar daripada kelompok sosial yang tidak elok.

Dalam pada itu beliau berkata, MCPF sentiasa menjalankan program dalam membantu bekas banduan selepas mereka keluar daripada penjara.

“Ini terbukti dengan penubuhan satu pusat oleh MCPF Kuala Lumpur untuk membolehkan bekas banduan bertemu dan menjalankan aktiviti sesama mereka.

“Di samping itu, MCPF juga turut sama membantu mereka untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau difahamkan bahawa kerajaan bersama Jabatan Penjara akan menubuhkan pusat seumpama itu di setiap negeri.

“Perkara seperti ini perlu dicontohi oleh badan bukan kerajaan (NGO). NGO perlu berperanan membantu penjara dalam membuat program yang dianggap sesuai serta fokus kepada pembinaan insan.

“Saya anggap ini salah satu sumbangan daripada NGO untuk membuat program yang boleh memberi manfaat kepada banduan untuk menjadi insan yang baik di samping membantu mereka kembali kepada masyarakat,” jelasnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2011 01:01 PM | Show all posts
Khamis September 29, 2011

Rumah Perantaraan Untuk Bantu Bekas Banduan Suaikan Diri
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LUMPUR: Pengenalan Rumah Perantaraan untuk bekas banduan disifatkan dapat membantu mengurangkan kadar bilangan banduan yang berulang kali masuk penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, usaha itu merupakan antara lebih 50 inisiatif dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dinegara ini.

"Pada masa ini kadar mereka yang berulang masuk penjara adalah sebanyak 15.8 peratus dan sasaran adalah 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Ini dapat membantu kerana antara fungsi Rumah Perantaraan adalah mengelakkan bekas banduan daripada mengulangi perbuatan jenayah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Jabatan Penjara bagaimanapun telah pun mencapai sasaran dalam NKRA iaitu tidak melebihi daripada 17 peratus berbanding jumlah kemasukan banduan setahun.

Rumah Perantaraan berfungsi sebagai penempatan sementara kepada bekas banduan dalam meneruskan kehidupan baru selepas tamat tempoh hukuman dalam penjara.

Abu Seman berkata, pada masa ini terdapat tujuh Rumah Perantaraan yang telah beroperasi.

"Tiga Rumah Perantaraan masih dalam kerja pengubahsuaian, tiga telah siap dibaik pulih dan sedia untuk beroperasi manakala satu lagi dikenal pasti untuk penyewaan premis.

"Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM686,500 pada tahun 2010 dan RM1 juta pada tahun ini bagi penyediaan rumah-rumah itu," katanya.

Menurut Abu Seman, sejak diperkenalkan pada Mei 2010, seramai 110 bekas banduan telah menghuni di Rumah Perantaraan.

"Inisiatif itu adalah usaha Jabatan Penjara membawa wadah baru dalam melakukan transformasi terhadap proses pemulihan banduan," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-10-2011 01:02 PM | Show all posts
Isnin Oktober 3, 2011

Harapan Baru Untuk Bekas Banduan
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB



Ke mana hala tuju merupakan cabaran kebanyakan banduan pada hari pertama dibebaskan daripada hukuman penjara. Foto Oleh: SAM THAM LAI YOONG

DAUN pintu besi kecil berwarna coklat dibuka. Bunyi pintu bergema untuk seketika.

Pintu kecil itu merupakan sebahagian daripada pintu utama yang hanya mampu memuatkan seorang sahaja untuk pergerakan keluar dan masuk pada satu-satu masa.

Kelihatan seorang lelaki berbadan tegap lengkap beruniform yang bertugas sebagai wadar penjara keluar dari pintu berkenaan bagi mengiringi seseorang.

Dia yang diiringi keluar itu hanya berpakaian biasa. Lama juga dia berdiri sejurus selepas menjejakkan kaki di hadapan pintu utama Penjara Kajang, Selangor.

Sambil memandang ke arah langit cerah, dia menarik nafas panjang kesyukuran kerana mengembalikan dia ke dunia nyata yang selama ini dinantikan saban waktu.

Hari itu merupakan hari dia dibebaskan. Secara rasminya dia bukan lagi pesalah namun tiada siapa yang tahu bukan mudah untuk memikul status bekas banduan.


Kehidupan di luar tembok penjara begitu mencabar tetapi Rumah Perantaraan membantu bekas banduan melalui pembentukan insan lebih baik.

Tiada seorang pun datang untuk menjemputnya pada hari itu. Pelik kerana dia bukan anak yatim piatu, masih mempunyai ibu bapa dan ahli keluarga serta sanak-saudara.

Hukumannya di dunia berganda bersilih ganti. Selain dipenjarakan, dia turut disisihkan oleh keluarga hanya kerana kesalahan lampau.

Tiada siapa ambil peduli. Sudahlah tidak menyambutnya pada hari pembebasan malah tidak pernah melawatnya walau sehari sepanjang dia dipenjarakan bertahun-tahun.

Ini belum lagi penerimaan dan pandangan serong sesetengah pihak yang pasti ‘lebih kejam’ menganggap bekas banduan hanyalah sampah kepada masyarakat. Kasihan.

Ketakutan tidak dijangka

Dia tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap, tiada tempat berteduh apatah lagi pekerjaan sebagai sumber pendapatannya bagi memperoleh sesuap nasi. Hati kecilnya meronta-ronta antara mahu kembali masuk ke penjara atau dibiarkan berpelesiran mencari nasib yang masih samar-samar. Ke mana hala tuju bekas banduan ini? Adakah dia akan berteduh di tempat asing seperti di bawah jambatan atau cenderung kembali melakukan jenayah?

‘Destinasi’ tersebut bergantung pada sejauh mana kekuatannya untuk melawan nafsu dan kekebalannya dalam menempuhi cabaran serta dugaan yang amat sukar itu.

Yusof (bukan nama sebenar), 42, antara bekas banduan yang berhadapan dengan dilema itu pada hari pertama dia dibebaskan selepas tamat tempoh hukuman penjara.

“Keluarga tidak pernah ambil tahu tentang diri saya. Mereka tidak tahu pun saya dipenjarakan atau dibebaskan,” katanya kepada Mingguan mStar yang ditemui di Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penglibatan Yusof melakukan jenayah dalam beberapa siri rompakan pada tahun 2008 telah menyebabkan dirinya terpaksa meringkuk dalam penjara selama 40 bulan.

Baginya, hari pembebasan merupakan satu ketakutan yang tidak dijangka meskipun ia sepatutnya merupakan berita paling gembira bagi mana-mana banduan di penjara.

“Siapa yang tidak suka dibebaskan tetapi mahu tinggal mana dan bagaimana untuk cari kerja? Siapa yang mahu ambil kami (bekas banduan) sebagai pekerja mereka?

“Bila difikirkan, semua perkara itu hanya menjadi beban. Bagaimana kami hendak menyesuaikan dengan persekitaran di luar,” katanya dengan suara tersekat-sekat.

Kehidupan baru

Dalam kekecewaan itu, Yusof bagaimanapun menginsafi akan kekhilafannya kerana melakukan jenayah sebelum ini dan berazam untuk membina kehidupan baru.

Namun bukan bantuan kewangan yang diminta kerana anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mempunyai kudrat dan tulang empat kerat untuk mencari rezeki halal.

“Golongan (bekas banduan) seperti kami memerlukan sokongan. Kami mahu berubah maka berilah kepercayaan kepada kami untuk melakukan perubahan itu,” katanya.

Yusof kini mempunyai pekerjaan sebagai pembantu am di salah sebuah organisasi di Kuala Lumpur sekali gus membuktikan dia boleh bernafas dengan titik peluh sendiri.

“Rumah Perantaraan menjadi ‘penyelamat’ kepada saya dan juga rakan-rakan senasib (bekas banduan). Di sini, saya dibantu untuk membina keyakinan dalam diri.

“Mengharungi kehidupan di luar tembok penjara begitu mencabar tetapi Rumah Perantaraan merupakan satu platform kepada kami belajar untuk menjadi individu lebih baik,” katanya yang pernah menghuni rumah itu pada Disember tahun lalu.

Yusof kini boleh tersenyum kerana hasil simpanan menerusi pendapatannya beberapa bulan membolehkan dia membeli motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Dia sudah pun berpindah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur pada April lalu apabila majikannya menyediakan kemudahan penginapan untuk para pekerja.

Yusof berazam untuk membeli rumah menggunakan simpanannya sendiri dan mahu hidup berkeluarga dengan bahagia seperti insan lain pada suatu hari nanti.

Bukan sesuatu yang mustahil bagi Yusof untuk melihat keinginan itu menjadi realiti. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Di sebalik hari pertama dibebaskan dari tembok penjara itu dia dan bekas-bekas banduan lain diberikan peluang kedua untuk menjalani kehidupan baru.

Rumah Perantaraan membantu memberi harapan yang sedikit-sebanyak melancarkan liku-liku perjalanan mereka dalam merencana kehidupan sendiri selepas itu.

Bersesuaian dengan nama, ia menghubungkan antara kehidupan dalam tembok besar berjeriji besi dan dunia luar yang senantiasa dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 8-10-2011 01:04 PM | Show all posts
Published: Isnin Oktober 3, 2011 MYT 12:19:00 PM
Updated: Isnin Oktober 3, 2011 MYT 12:53:27 PM


Majikan Berhati Mulia
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB



Wong (hadapan) pernah meringkuk di dalam penjara sebanyak dua kali pada tahun 2002 dan 2010.

JIKA melihat secara luaran, tiada siapa akan menyangka mereka mempunyai sejarah hitam kerana pernah melakukan jenayah sehingga meringkuk dalam penjara.

Dua lelaki ini kelihatan begitu bersahaja. Namun dengan memikul status sebagai bekas banduan sehingga ke akhir hayat ternyata bukan sesuatu yang mudah.

Chan, 50, dan Wong, 42, (kedua-duanya bukan nama sebenar) merupakan bekas penghuni Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kedua-duanya adalah anak kelahiran Taiping, Perak tetapi tidak mempunyai pertalian saudara atau terlibat dalam kes jenayah yang sama kerana hanya dipertemukan di Rumah Perantaraan selepas masing-masing tamat tempoh hukuman penjara.

Chan berkata, dia dihukum penjara kerana terlibat dalam satu kes samun dua tahun lalu dan ketika itu bekerja sebagai buruh binaan.

“Saya begitu tertekan apabila hari untuk dibebaskan semakin hampir. Saya runsing kerana tidak mempunyai keluarga lagi dan sudah berpisah dengan isteri.


Chew (dua, kiri) dan anaknya, Chew Eng Shen, 26, (kiri) memberi penerangan tugas kepada Wong dan Chan.

“Bukannya tidak ada pengalaman bekerja (sebelum dipenjarakan) tetapi saya sudah tua. Susah untuk dapat kerja, lebih-lebih lagi saya adalah bekas banduan,” katanya.

Menurut Chan, dia mempunyai kepakaran dalam kerja pertukangan kayu kerana telah dilatih untuk membuat perabot sewaktu dalam tahanan di penjara.

“Kisah lalu (perbuatan jenayah) bukan bermakna saya tidak berguna. Saya mampu membuat kerja-kerja di mana orang lain sendiri tidak tahu melakukannya,” katanya.

Bukan status

Sementara itu, Wong pula berkata, pengalaman dua kali meringkuk dalam penjara membuatkannya serik dan insaf dengan jenayah lampau yang dilakukannya.

Dia pertama kali dipenjarakan pada 2002 apabila disabitkan kesalahan memiliki senjata api manakala kesalahan kedua pada 2010 kerana mencuri.

“Saya masih mempunyai keluarga tetapi sudah terputus hubungan. Dan saya tidak mahu mereka tahu yang saya pernah dipenjarakan,” katanya.

Menurut Wong, pengalaman yang diperoleh sewaktu berada di penjara dalam proses pemulihan banduan memberikannya kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Saya diberikan kemahiran untuk membuat kraftangan dan melukis. Ia ibarat persediaan kepada saya untuk melakukan kerja di luar penjara.

“Seperti yang saya sedang lakukan ini,” katanya yang ketika itu sedang mengetam kayu menggunakan mesin untuk dijadikan kerangka pintu rumah.

Chan dan Wong berasa amat bertuah kerana mempunyai majikan yang sudi mengambil mereka untuk bekerja tanpa memikirkan status sebagai bekas banduan.

Peluang kedua

Majikan kepada Chan dan Wong iaitu Chew Kai Liap, 63, mengusahakan perniagaan bersama keluarga membabitkan kelengkapan binaan rumah sejak 10 tahun lalu.

Chew berkata, dia dimaklumkan oleh salah seorang ahli keluarganya mengenai Program Rumah Perantaraan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara.

“Difahamkan, program tersebut sedang mencari majikan-majikan yang sudi memberi kerjasama dengan menawarkan pekerjaan kepada bekas banduan.

“Ia merupakan situasi menang-menang kerana Jabatan Penjara membantu mencari pekerjaan untuk bekas banduan manakala saya pula mendapat pekerja.

“Ini terutama dalam keadaan sekarang yang begitu sukar untuk mendapatkan pekerja di kalangan rakyat tempatan dan hanya bergantung pada pekerja asing,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kebimbangannya sewaktu memutuskan untuk mengambil bekas banduan untuk bekerja di syarikatnya, Chew hanya tersenyum.

“Program Rumah Perantaraan sebenarnya memberi keyakinan kepada saya untuk menggaji mereka meskipun diketahui kedua-duanya pernah melakukan jenayah.

“Saya harus berfikiran positif. Jika saya tidak beri peluang (kerja), kesannya pasti lebih buruk yang memungkinkan mereka kembali melakukan jenayah.

“Mereka (bekas banduan) juga adalah manusia biasa yang tidak sempurna dan kadang-kala melakukan kesalahan maka wajar diberi peluang kedua sekiranya benar-benar insaf dan mahu berubah untuk tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya.
Reply

Use magic Report

12
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 12:56 PM GMT+8 , Processed in 0.074017 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list