|
Bidang lakonan dan nyanyian mempunyai cabaran tersendiri, namun pengalaman yang diberikan sepanjang bekerja mempunyai kepuasan berbeza buat setiap anak seni.
Diberi amanah untuk membawa watak Mail menerusi drama Oh My Hantaran, Noki, 27, juga anggota kumpulan K- Cliqie berharap percubaannya dalam bidang lakonan mampu menampilkan sisi berbeza dirinya.
Foto: IG
"Biarpun sibuk menjalani penggambaran yang kadangkala bermula dari 8 pagi sehingga 12 tengah malam, namun banyak yang saya pelajari. Contohnya dari segi komunikasi, kini saya lebih bijak berinteraksi dengan orang ramai.
"Jika dahulu apa yang ditanya saja akan saya jawab. Kini saya lebih pandai berkomunikasi kerana di set penggambaran dapat berjumpa dan bergaul dengan kru poroduksi.
"Malah, menerusi lakonan juga saya belajar untuk membina keyakinan diri. Mungkin ramai tidak tahu, saya sebenarnya pemalu, jadi lakonan turut membantu saya untuk lebih maju ke depan," katanya.
Menurut Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, biarpun penat berhempas pulas menjalani penggambaran seharian bermula dari pagi sehingga tengah malam, namun rasa letih itu baginya memuaskan.
Tambah Noki lagi, selain raut wajahnya yang kelihatan bengis, cara percakapan turut membuat banyak pihak salah faham dengannya
Dalam pada itu, Noki juga tidak berasa ralat dengan perkongsian tidak berbaju di media sosial yang mengundang pelbagai reaksi netizen kerana berpendapat setiap individu mempunyai pandangan masing-masing.
"Terpulang kepada semua pihak untuk membuat tafsiran tersendiri mengenai perkongsian di media sosial itu. Jika diikutkan, saya tidak memuat naik gambar yang terlalu menayang badan.
"Saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh tersebar gambar di lokasi. Ada yang dimuat naik oleh orang luar, ada juga dalam kalangan kru produksi. Saya sendiri bekerja keras untuk mendapatkan tubuh sasa begini.
"Saya berharap secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada mereka di luar sana. Menjaga badan dan kawal pemakanan untuk 10 bulan bagi mendapatkan tubuh idaman.
"Oleh itu, jika ada yang memuji terima kasih saya ucapkan. Manakala, jika ada yang menganggap perkongsian tidak berbaju ini keterlaluan, saya juga minta maaf," katanya.
Barangkali nama Noki juga belum sehebat teman dalam kumpulannya seperti MK atau Tuju yang menyerlah dengan projek solo masing-masing. Namun, melihat usaha ditunjukkannya, tidak mustahil dia bakal mengikut jejak langkah mereka.
Terbaharu, Noki tampil dengan single berjudul Payung Pelangi iaitu nyanyian bersama MK yang dilancarkan pada 9 September lalu. Tambahnya, muzik video lagu terbabit bakal dirakamkan dalam tempoh terdekat ini.
"Lagu ini menceritakan mengenai usaha keras. Sebelum kita mendapat sesuatu kejayaan, kita perlu berusaha keras dan jangan berputus asa. Pelangi tu hanya perumpamaan, di mana pelangi tak akan muncul kalau tidak hujan.
"Jadi, kesusahan di permulaan pasti ada, tapi dengan usaha keras dan izin-Nya kejayaan pasti akan datang juga. Jadi, saya harap lagu dan lirik ditulis mampu memberikan semangat kepada semua pendengar dan terus menyokong kami," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|