Georgetown: Lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dalam bilik di rumahnya di Kondominium Midlands, Pulau Tikus, di sini, semalam.
Lelaki berusia 52 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.11 malam.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal yang diketuai Mohd Nazril Hisyam Napiah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
"Ketika tiba di lokasi, didapati pintu rumah berkenaan berkunci dan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik.
"Anggota bomba memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu," katanya hari ini.
Lelaki berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia sebelum diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.
"Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.
"Operasi tamat pada jam 1.08 pagi, " katanya.