RAMPASAN: Minyak petrol yang dirampas dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas minyak petrol cuba diseludup keluar ke negara jiran di Pulau Boheian, di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Mohamad Ismail berkata pasukannya berjaya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Pasukan keselamatan bertindak pantas memintas bot tersebut untuk membuat pemeriksaan terhadap barang yang dibawanya.
Namun, suspek yang melihat kehadiran pasukan keselamatan bertindak terjun ke dalam laut dan meloloskan diri ke kawasan air cetek,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam ruangan bot mendapati terdapat beberapa jerikin berisi minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Kesemua barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM36,677.50 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Mohamad berkata PPM wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.
“Maklumat boleh dilaporkan secara terus menggunakan aplikasi whatsapp kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah ditalian 0139391197,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/04
|