TANGKAPAN: Kesemua suspek berkenaan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
LAHAD DATU: Taktik seorang lelaki tempatan menyembunyikan lapan warga asing di bahagian kontena lori gagal selepas berjaya ditahan di Kilometer 12, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata tangkapan tersebut dibuat kira-kira jam 9.40 malam di menerusi Op Benteng di Sekatan Jalan Raya (SJR) di lokasi tersebut.
“Anggota keselamatan yang bertugas di SJR berkenaan bertindak membuat pemeriksaan keatas lori yang dibawa oleh lelaki tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan individu termasuk seorang wanita berumur 18 hingga 55 tahun berada di bahagian kontena lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan medianya di sini, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut pula mendapati kesemua individu terbabit merupakan warga asing dan tiga diantaranya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Soal siasat yang dijalankan, mereka dipercayai baharu tiba dari negara jiran melalui laluan tikus ke perairan Tawau dan mahu ke Kota Kinabalu untuk mencari pekerjaan.
“Kesemua tangkapan serta barang rampasan termasuk lori dan wang tunai berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
RAMPASAN: Lori yang digunakan untuk membawa kesemua warga tersebut turut dirampas.
Rohan berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Pihak polis akan menyiasat dalang sebenar kegiatan penyeludupan manusia tersebut,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/02
|