Kampung Digital TEGAS: Sarawak ke arah negeri maju dan ekonomi digital
Abang Johari bersama Len Talif mendengar taklimat mengenai perkembangan kerja pembinaan TDV. - Gambar UKAS.
KUCHING: Penubuhan Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TDV) merupakan pelengkap kepada Sarawak dalam mencapai sebuah negeri maju dan memacu ekonomi digital menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, TDV yang dibina di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya di sini itu mempunyai kemudahan teknologi yang terkini selain dibina sebagai Indeks Bangunan Hijau (GBI).
"Kampung Digital TEGAS ini akan menjadi satu tempat penting dalam kita mencapai matlamat ekonomi digital khasnya kepada para peneroka yang akan mewujudkan beberapa proses dan produk mereka menggunakan teknologi terkini.
"Ia pada masa yang sama mengangkat segala produk hasil ekonomi Sarawak bukan sahaja dari segi komoditi dan barangan tetapi harta intelek.
"Iaitu mereka yang mempunyai inovasi serta kreativiti untuk menghasilkan produk yang dapat digunapakai pasaran antarabangsa," katanya semasa mengadakan lawatan ke yang turut disertai Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh, hari ini.
Menurut Abang Johari, TDV berkenaan mempunyai ruang yang dilengkapi dengan peranti teknologi untuk menghasilkan produk baharu berteknologi kepada peneroka atau usahawan terlibat.
Katanya selain itu ia juga menyediakan ruang yang boleh digunakan sebagai pejabat kepada usahawan terlibat di TDV.
"Bukan itu sahaja bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan terkini yang akan meningkatkan kesalinghubungan dimana ia akan disambung dengan pautan Hab Inovasi TEGAS di beberapa bahagian termasuk di Sarikei, Sibu dan Miri.
"Hab ini semuanya adalah berasaskan sistem inkubator dimana usahawan kita dari kawasan luar bandar khasnya terlibat dan sumber produk mereka akan ditambahbaik," katanya.
Abang Johari berkata, masa depan Sarawak akan cerah menerusi pembangunan teknologi sedemikian yang sekali gus akan mencapai matlamat ke arah ekonomi digital dan negeri berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
Projek pembinaan TDV yang bermula pada Januari 2019 pada awalnya dijadualkan siap pada Julai 2020 namun pada Mac 2020 projek tersebut berada tiga peratus dari jadual dan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, TEGAS terpaksa mengeluarkan perintah menghentikan pembinaan kepada kontraktor mereka.
Disebabkan itu projek ditangguhkan sebanyak 16 peratus pada Jun 2020 dan TEGAS telah menyambung semula kerja pembinaan pada Jun 2020 dengan pelan baharu serta bekerjasama rapat dengan perunding serta kontraktor mereka bagi mempercepatkan projek.
Sementara itu Len Talif berkata, pembinaan TDV adalah menggambarkan bahawa kerajaan Sarawak komited untyk mempercepatkan pertumbuhaan kepada usahawan pemula (startups) tempatan, selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.
"Menerusi Kampung Digital, TEGAS dan rakan-rakan ekosistem kami akan terus mempertingkatkan usaha dalam ekosistem keusahawanan inovasi dan seterusnya memacu ekonomi digital," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/02
|