Keadaan kereta mangsa dalam kemalangan tersebut.
KUCHING: Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya dilanggar sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) di Jalan Batu Kawa-Bau, di sini pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Lee Suk Phin,33, berasal dari Jalan Sungai Moyan, Batu Kawa.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah iaitu sekitar jam 10.30 malam.
"Kemalangan berlaku apabila mangsa bergerak lurus dari arah Batu Kawa menuju ke arah Bau tiba-tiba dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan MPV.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak.
Manakala pemandu kenderaan MPV dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil sampel darah pemandu MPV," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/09/01
|