KUCHING: Tiada sebarang aduan berkaitan pengeluaran sijil lengkap vaksinasi COVID-19 tanpa disuntik vaksin berkenaan di Sarawak, setakat ini.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata, pihaknya tidak menerima laporan berkaitan isu berkenaan dari mana-mana individu atau kakitangan perubatan di negeri ini.
“Setakat ini tidak laporan polis dibuat berkaitan isu ini di Sarawak. Saya percaya para doktor di Sarawak cukup profesional dan bertanggungjawab dengan prefesion mereka untuk melakukan sesuatu yang boleh menghancurkan kerjaya mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam kenyataan melahirkan kebimbangan mengenai laporan media mengenai beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi COVID-19 tanpa disuntik vaksin berkenaan.
Dalam kenyataannya, Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata MMA memandang serius ‘sijil vaksinasi tanpa disuntik vaksin’ dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat.
Beliau menambah, MMA memandang serius perkara ini dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan berkenaan. “Mereka didapati terbabit dalam kegiatan itu perlu didakwa mengikut undang-undang anti rasuah.
“MMA mendesak PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewujudkan satu talian bebas untuk orang ramai membuat laporan berkaitan perkara itu.
“Kita juga ingin mengingatkan semua doktor mengenai tugas dan tanggungjawab untuk berpegang kepada etika tinggi sebagai pengamal perubatan," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/31
|