Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan (kiri) membantu penduduk Pulau Mantanani, Kota Belud yang hadir menerima vaksin dos tunggal CanSino ketika program jangkauan luar vaksinasi di pulau berkenaan. – Foto ihsan Facebook Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ketua Kampung Pulau Mantanani, Kota Belud, Rosmin Ambil menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino di Sabah.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan yang menyaksikan program jangkauan luar pemberian vaksin COVID-19 di pulau berkenaan, semalam.
Katanya, penduduk Pulau Mantanani adalah penerima terawal vaksin CanSino di Sabah selepas vaksin berkenaan tiba di negeri ini bermula kelmarin. “Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, program pemberian vaksin di Mizume, Pulau Mantanani berjalan dengan lancar.
“Ketua Kampung Pulau Mantanani, Haji Rosmin Ambil adalah orang pertama di Sabah disuntik dengan vaksin CanSino,” katanya dalam perkongsian mengenai program vaksinasi di pulau berkenaan di laman Facebook beliau, semalam.
Seramai 650 penduduk Pulau Mantanani menerima suntikan vaksin CanSino pada program itu yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Fairuz berkata pemberian vaksin jenis CanSino memang sangat sesuai diberikan kepada penduduk di kawasan terpencil seperti di Pulau Mantanani menandangkan ia tidak memerlukan suntikan dos susulan.
“Saya yakin dengan adanya vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos suntikan, usaha untuk memvaksin penduduk di kawasan pedalaman dan agak susah untuk dicapai dengan jaringan pengangkutan dan jarak akan lebih mudah direalisasikan,” katanya.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan penghantaran sebanyak 180,000 dos vaksin CanSino ke negeri ini, bermula dengan 53,000 dos yang tiba pada Selasa lalu.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memohon 1.8 juta dos vaksin berkenaan untuk dihantar ke negeri ini dan meminta agar Sabah diberi keutamaan bekalan vaksin CanSino dalam usaha mempercepatkan imuniti kelompok. – BH Online
sabahpost.net/2021/08/28
|