View: 3900|Reply: 1
|
Jiwa tenang di puncak Ledang
[Copy link]
|
|
Hafiz Ithnin
[email protected]
PEMANDANGAN menarik ketika berada di sekitar puncak Gunung.
Mendaki Gunung Ledang dari Asahan, Melaka sememangnya suatu pengalaman yang menarik bagi penulis. Apatah lagi bertemankan rakan-rakan si pelari denai.
Laluan yang begitu mencabar adrenalin, sedar tidak sedar 2 jam 30 minit penulis sudah tiba di puncak yang amat mengundang ketenangan jiwa tatkala melihat panorama dari puncak si puteri legenda itu.
Jika anda ingin mendaki ke gunung berketinggian 1,276 meter itu sebenarnya terdapat beberapa laluan dan dua paling popular ialah dari Asahan di Melaka atau menerusi Sagil di Johor.
Namun, tidak kisah laluan mana pun, puncak itu terletak di Johor dan ia adalah gunung tertinggi di negeri berkenaan.
Uniknya, ketika anda berada di puncak Gunung Ledang ialah kedudukannya yang dapat melihat tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Penulis memilih untuk mendaki gunung itu dari Asahan memandangkan tempat bermulanya pendakian itu lebih dekat dengan Kuala Lumpur yang hanya perlu memandu sekitar dua jam sahaja berbanding menuju ke Sagil yang lebih dekat dengan mereka yang datang dari Johor.
ANTARA laluan mencabar menuju ke puncak selepas CP7.Bagi pendaki yang berminat menawan puncaknya, Gunung Ledang diuruskan Taman Negara Gunung Ledang dan mempunyai peraturan yang amat ketat bagi pengurusan pendakian.
Ini terutama pengurusan sampah dengan tidak membenarkan pendaki menakluki puncaknya tanpa permit dan perlu menggunakan khidmat penunjuk arah.
Pada hemat penulis langkah ini amat baik kerana ia dapat menjadikan Gunung Ledang sebagai sebuah destinasi pelancongan eko yang terurus, selamat dan paling utama tidak dicemari dengan sampah sarap.
Sebelum memulakan pendakian, pendaki perlu mewartakan semua barangan yang dibawa naik ke puncak menerusi borang yang diberikan. Setiap yang dibawa naik perlu dibawa turun atau dikenakan denda jika hilang setiap satu barangan.
RAKAN pendaki perlu menggunakan tali di Batu V.Sebenarnya untuk mendaki gunung itu, anda boleh memilih untuk bermalam atau pulang pada hari yang sama. Kedua-dua pilihan itu mempunyai permit yang berbeza.
Jika bermalam, anda akan berkhemah di CP 6 iaitu selepas padang batu yang mempunyai kemudahan seperti air, tandas dan pondok untuk menunaikan solat.
Menariknya, jika anda bermalam di CP6 dapat melihat pemandangan matahari terbenam dan pada awal pagi keesokan harinya dapat menyaksikan pemandangan matahari terbit dari puncak.
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti larian denai, trek pendakian begitu menguji stamina kerana laluan treknya sejauh sekitar 20 kilometer.
PENULIS bersama penunjuk arah, porter dari Sakau Kartel dan rakan pendaki di Padang Batu.Selain itu, ia juga mempunyai laluan yang agak mencabar keberanian memandangkan terdapat laluan memerlukan anda memanjat menggunakan tali, tangga dan laluan berbatu yang agak menegak ketika menuju ke puncak.
Ketika menghampiri puncak, akan kelihatan papan tanda yang menceritakan mengenai Legenda Puteri Gunung Ledang dan kedudukannya ke puncak kurang tiga minit sahaja.
Setibanya di puncak, pemandangan begitu luas kerana tidak ada gunung lebih tinggi berhampiran Gunung Ledang menutupi pemandangan.
Lebih menarik bukan sahaja dapat menyaksikan awan karpet jika bertuah, malah Selat Melaka juga mampu dilihat dengan begitu jelas dari puncak Gunung Ledang.
PEMANDANGAN ketika matahari terbenam di CP6.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
mengimbau nostalgia lak bila baca. time bujang dulu rajin juga join xtvt mendaki ni.. bila dah berfamili makin slow, start PKP lgsg stop dah |
|
|
|
|
|
|
| |
|