|
Seorang pembantu gerai buah ditahan polis semalam kerana memuat naik 12 video mengandungi komen jelik serta menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Ayer Hitam, Batu Pahat, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Katanya, lelaki berkenaan dikesan memuat naik video dengan komen jelik dan menghina TMJ itu menerusi akaun Instagram, 'amirul_naito'.
"Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangkar Pulai, di sini, berhubung video dimuat naik suspek, kira-kira jam 9 pagi, semalam.
"Sebanyak sembilan lagi laporan polis turut dibuat semalam, susulan video berkenaan yang turut tular sejak semalam.
"Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya mengesan dan menahan suspek di rumahnya di Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.
"ermohonan reman dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes ugutan jenayah dan khianat.
"Siasatan akan dibuat terhadap motif suspek memuat naik video dengan kata amat jelik serta menghina TMJ.
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Ayob Khan turut menasihatkan masyarakat agar tidak menyalah guna media sosial dengan memuat naik video dengan kata-kata jelik, apatah lagi bersifat menghina.
"olis Johor akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalah guna media sosial," katanya.
Sumber: BH Online |
|