Nasi kandar, pasembor antara 10 diwarta makanan tradisional Pulau Pinang
BERNAMA - Januari 29, 2026 @ 4:44pm
10 makanan tradisional yang diangkat sebagai warisan negeri ialah nasi kandar, pasembor, char kuekak, oh chien, kerabu bihun, mi Hokkien, mi udang, mi sotong, mi Jawa dan roti Benggali. - Foto Bernama
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Warta Perisytiharan Negeri bagi 10 makanan tradisional dan enam item warisan kebudayaan tidak ketara untuk diisytiharkan sebagai Warisan Negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 10 Disember 2025, selepas kesemua pencalonan melalui proses saringan dan penilaian terperinci oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya) sebelum diperakukan oleh Majlis Warisan Negeri.
"Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan sejarah serta kepelbagaian budaya hasil keharmonian masyarakat berbilang kaum yang membentuk identiti unik negeri itu sejak sekian lama.
"Kesemua elemen warisan ini, termasuk makanan, perayaan, adat resam dan amalan sosiobudaya membentuk khazanah kebudayaan Pulau Pinang yang wajar dipelihara dan dipertahankan untuk generasi akan datang," katanya pada majlis pemakluman pewartaan item warisan kebudayaan tidak ketara sebagai warisan negeri di Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata 10 makanan tradisional yang diangkat sebagai warisan negeri ialah nasi kandar, pasembor, char kuekak, oh chien, kerabu bihun, mi Hokkien, mi udang, mi sotong, mi Jawa dan roti Benggali.
Chow berkata enam item warisan kebudayaan tidak ketara yang diiktiraf pula adalah budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, perayaan St. Anne Bukit Mertajam serta loghat bahasa Tanjong Pulau Pinang.
Beliau berkata kesemua item itu mempunyai nilai sejarah dan budaya yang telah diamalkan oleh masyarakat Pulau Pinang seawal kurun ke-19 dan kekal relevan sehingga kini.
"Pewartaan itu bukan sahaja bertujuan memelihara dan memulihara warisan kebudayaan negeri, malah sebagai usaha mempromosikan keunikan Pulau Pinang kepada masyarakat dalam dan luar negeri, sejajar dengan aspirasi Visi Penang 2030 dan gagasan Malaysia MADANI," katanya.
Kon Yeow berkata pewartaan itu juga langkah strategik bagi memastikan warisan yang telah diamalkan sejak turun-temurun tidak terhakis akibat arus pembangunan pesat.
"Usaha pewartaan itu dilaksanakan secara berstruktur melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, yang berperanan mengenal pasti, mendokumentasi dan mencalonkan warisan negeri untuk diiktiraf secara rasmi," katanya.
Kon Yeow berkata kesemua 16 item itu akan diisytiharkan secara rasmi menerusi Program Kenduri Warisan bersempena Perisytiharan Warisan Negeri dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya juga berharap agar lebih banyak khazanah warisan kebudayaan Pulau Pinang dapat dikenal pasti serta diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa hadapan demi memastikan identiti dan keunikan negeri itu terus terpelihara untuk generasi akan datang. – BERNAMA
|