Rahsia kehilangan seorang gadis terungkai selepas dia diketahui sebenarnya tinggal bersama teman lelaki sejak 10 tahun lalu.
Lebih mengejutkan apabila gadis asal dari sebuah kampung di Kerala, India itu 'bersembunyi' di rumah yang terletak tidak jauh dari rumah keluarganya.
Wanita bernama Sajitha itu berusia 18 tahun ketika dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk bertemu saudara.
Kredit foto: New Indian Express
Pencarian keluarga dan laporan polis tidak menunjukkan sebarang perkembangan sehingga keluarganya buntu.
Namun, seorang saudara terserempak dengan Rahman yang dikatakan teman lelaki wanita itu sebelum mengekorinya baru-baru ini.
Menerusi India Times, rahsia itu terbongkar selepas Rahman ditahan polis dan mengakui dia tinggal bersama seorang wanita di rumahnya.
Selepas pemeriksaan dijalankan, polis menemui Sajitha yang dilaporkan hilang 10 tahun lalu di rumah lelaki terbabit.
Rahman mengakui memasang pagar elektrik di kawasan biliknya bagi mengelak keluarganya mengetahui dia tinggal bersama kekasihnya.
Malah sejak 10 tahun lalu Rahman tidak makan bersama keluarga dan hanya terperap di dalam bilik sehingga dia disangka tidak siuman.
Sajitha pula hanya keluar ke tandas pada waktu malam menerusi ruang tingkap bilik berkenaan bagi mengelak keberadaannya diketahui keluarga kekasihnya.
Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan.
Pasangan itu mengakui bertindak sedemikian kerana khuatir hubungan mereka tidak direstui keluarga.
Sumber: Harian Metro |