Seorang lelaki di Xinyang, China menawarkan khidmat unik iaitu membantu individu yang ada masalah disiplin atau tabiat melengahkan kerja.
Oddity Central melaporkan, rutin harian Xiao Zhu adalah menghantar kiriman mesej dan menghubungi pelanggannya bagi mengingatkan mereka mengenai perkara yang perlu dilakukan.
Kredit foto: Oddity Central
Hasilnya, Zhu menerima ribuan maklum balas positif dalam kalangan pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya.
Meskipun sibuk sepanjang minggu, Zhu mengakui tiada yang lebih memberi kepuasan selain mendengar ucapan terima kasih daripada pelanggan selepas mereka lulus dalam peperiksaan.
Menurut Zhu, majoriti pelanggannya adalah golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun yang kurang menitikberatkan soal disiplin dan memerlukan khidmat pembantu untuk mengikis tabiat itu.
Ramai yang mendapatkan khidmat Zhu bagi membantu menurunkan berat badan dan mahu fokus belajar untuk menduduki peperiksaan.
Zhu tidak pernah mendedahkan bayaran diterima, namun ada kemungkinan ia lumayan kerana lelaki itu bertahan dengan pekerjaan itu sejak enam tahun lalu.
Kisah Zhu tular di media sosial China sejak minggu lalu dengan rata-ratanya tidak sangka ada individu mencari pendapatan dengan cara itu.
Sumber: Harian Metro |