Baju Kurung Sudah Dilupai kata Minah Salleh ni
Baju kurung merupakan busana yang sering digayakan oleh para wanita di negara kita sejak dari zaman dahulu lagi. Daripada si dara ke ibunya, tidak kisahlah di pagi raya mahupun hari-hari biasa, busana ini bukan sahaja sebuah warisan negara malah, ia juga merupakan sesuatu yang tidak pernah dilupakan. Oleh itu, tidak hairanlah apabila pengasas jenama Nala Designs, Lisette Scheers ini dikecam hebat oleh para netizen apabila Scheers mendakwa bahawa busana yang dibanggakan oleh rakyat Malaysia itu sudah dilupakan. Memetik sepatah dua kata dari wawancara wanita berdarah Belanda ini bersama portal South China Morning Post, Scheers berkata bahawa beliau mengimpikan busana Baju kurung untuk kembali dan berharap agar orang Melayu akan kembali berpakaian cantik seperti dahulu serta berbangga dengan warisan negara ini. Scheers yang difahamkan telah membesar di negara ini berkata bahawa Malaysia penuh dengan fabrik yang cantik dan berwarna-warni. Oleh itu katanya, beliau kini sedang berusaha agar warisan negara ini tidak ditelan zaman.
Dianggap merendahkan dan bersifat neo-colonialismApa yang diperkatakan oleh Scheers di artikel yang ditulis oleh portal tersebut dianggap mempunyai nada yang merendahkan rakyat Malaysia, khususnya Melayu dan bersifat neo colonialism. Rata-rata mereka yang membaca artikel tersebut berasa kecewa dan marah dengan setiap perkara yang diperkatakan. Artikel tersebut juga telah tular di laman media sosial seperti Twitter dan Instagram dan secara tidak langsung, mengundang kecaman dan komen dari mereka yang membacanya. Menurut komen dari para netizen, Baju kurung tidak pernah dilupakan malah busana tersebut sering sahaja digayakan oleh rakyat Malaysia tak kira kaum. Netizen turut juga beranggap bahawa setiap perkara yang diperkatakan Scheers itu adalah tidak berasas dan menggelarkan beliau sebagai seorang kapitalis yang mengaut untung dari warisan dan budaya rakyat Malaysia.
|