Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan tahun 2021 berkemungkinan menjadi faktor utama mengapa kebanyakan kedai komputer sesak sejak akhir-akhir ini.
Difahamkan, kedai komputer di sekitar Lembah Klang dan Melaka dipenuhi ibu bapa yang mencari kelengkapan untuk pembelajaran secara atas talian.
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan perkhidmatan servis komputer riba di Global We Shop, Ayer Keroh semalam (kelmarin).
Kredit foto: Kosmo
Menurut seorang daripada peniaga di Desa Pandan yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, barangan komputer telah mendapat permintaan tinggi sejak sesi persekolahan bermula lagi.
Sebelum ini, stok komputer riba yang datang pasti mengambil masa untuk dijual.
"Tetapi, kini keadaan berubah apabila ibu bapa perlu menyediakan peralatan tersebut untuk anak-anak," katanya.
Sementara itum seorang suri rumah, Norita Awang, 31, mendakwa barangan komputer riba di kawasannya di Bangi telah kehabisan stok.
"Dah masuk tiga kedai nak cari aksesori web kamera, tapi semuanya habis.
"Kedai komputer pun selalunya tak sesibuk ini," katanya menerusi laporan Kosmo.
Untuk makluman, isu PdPR menimbulkan perdebatan dalam kalangan ibu bapa yang memiliki lebih daripada seorang anak dan terpaksa menghadiri kelas PdPR serentak.
Antara persoalan yang timbul adalah masalah peranti elektronik tidak mencukupi untuk diberikan kepada anak dan bimbang jika tidak mengikuti kelas akan keciciran akademik.
Ada juga yang bimbang tidak sempat memantau anak secara serentak ketika PdPR dijalankan serta masalah akses Internet. Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah nasib golongan tidak berkemampuan.
Apapun, diharap kerajaan mencari jalan terbaik di saat dunia berdepan pandemik ini.
Sumber: Gempak |