Klopp menafikan laporan Mohamed Salah akan meninggalkan Liverpool. - Foto EPA
LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menafikan laporan Mohamed Salah akan meninggalkan kelab itu selepas pemain berkenaan tidak menolak kemungkinan untuk berpindah ke Barcelona atau Real Madrid pada masa depan.
Bercakap ketika temu bual bersama akhbar Sepanyol, AS, Salah, berkata masa depannya di tangan kelab tetapi Klopp menegaskan penyerang antarabangsa Mesir itu bermotivasi tinggi untuk kekal di Anfield.
"Kami tidak pernah bercakap mengenai kontrak," kata Klopp ketika sidang media menjelang pertembungan dengan West Bromwich Albion, awal pagi Isnin ini.
"Mo dalam keadaan baik dan itu yang paling penting. Anda akan menyaksikan dia banyak ketawa. Yang lain anda boleh tulis tetapi tiada apa-apa mengenai perkara dalaman."
Salah masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol ketika Liverpool melakar kemenangan 7-0 ke atas Crystal Palace, Sabtu lalu.
Klopp, berkata keputusan itu menebus kekalahan memalukan yang dialami pasukan itu apabila tewas 2-7 di tangan Aston Villa awal musim ini.
"7-0 adalah keputusan yang anda jarang lihat. Selepas tamat perlawanan, saya berasa kami sudah menutup kekalahan itu (tewas kepada Villa).
"Kami tidak bercakap mengenainya bagi memastikan pemain terus bermotivasi tinggi," katanya. |