Safee (kiri) dan Hadin sertai skuad Kuala Lumpur. FOTO Ihsan KLFA
Firdaus Hashim
[email protected]
Kuala Lumpur: Bekas pemenang Kasut Emas Piala AFF 2010, Safee Sali akhirnya memilih pasukan Kuala Lumpur untuk saingan Liga Super musim depan sekali gus mengenepikan spekulasi yang dirinya bakal menggantung but musim depan.
Safee mengikat kontrak selama semusim bersama skuad The City Boys selepas Petaling Jaya City tidak melanjutkan kontraknya sebaik saingan Liga Malaysia berakhir musim lalu.
Malah, pada sidang media sama, seorang lagi pemain berpengalaman, Hadin Azman turut memilih Kuala Lumpur musim depan.
Jelas Safee yang juga bekas penyerang Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT), dia masih mampu menyumbang kudrat buat Kuala Lumpur meskipun sudah menjangkau usia 37 tahun. "Saya sentiasa positif, selagi saya belum mengucapkan dan melafaskan kata persaraan, selagi itu saya ingin menabur khidmat dan segala pengalaman saya untuk pasukan yang saya bermain.
"Bermain di satu pasukan yang pernah saya berada dulu memang saya cukup teruja, walaupun saya berumur 37 tahun tapi saya masih merasakan saya baru 17 tahun untuk musim hadapan," katanya.
Menurutnya, kehadirannya semula di Kuala Lumpur umpama mengimbau nostalgia lama ketika dia mula-mula bergelar pemain profesional.
"Pertama sekali saya amat berbesar hati kerana dapat kembali semula kepada pasukan yang memulakan karier profesional saya 15 tahun lalu.
"Saya berbangga berada dalam stadium ini (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras) banyak sejarah dan pasukan Kuala Lumpur memang ada sejarah yang besar sebelum ini.
"Saya harapkan musim hadapan kita akan cuba membangkitkan semangat dan aura Kuala Lumpur di Liga Super," katanya yang turut pernah beraksi di Liga Indonesia bersama Pelita Jaya pada 2010-2012.
Sementara itu, Hadin yang berpindah dari Kedah sudah tidak sabar untuk turun berlatih dan membantu Kuala Lumpur dalam kempen liga tempatan. |