Ketika Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pengacara dan usahawan Noor Neelofa Mhd Noor tampil menyeru orang ramai untuk menyokong peniaga-peniaga kecil yang dikatakan antara golongan paling terjejas sepanjang tempoh itu.
Menerusi ciapan di akaun Twitternya, Neelofa, 31, mendoakan agar PKPB kali ini tidak terlalu memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil secara khususnya dan rakyat secara amnya.
"Jom kita support sesama kita. Berbelanja dengan peniaga kecil, bantu promosi. Utamakan produk tempatan."
Ciapan tersebut diulang kicau lebih 20 ribu kali dan menarik lebih 30 ribu tanda sukaan.
Menariknya, ruangan balasan dipenuhi dengan komen-komen daripada usahawan-usahawan kecil yang mengambil peluang untuk mempromosikan produk-produk jualan mereka, antaranya, Roti gebu gebas, Brownies Burnt Cheesecake, Cendawan Kukur Kering, Keropok Lekor Terengganu, Rempeyek dan lain-lain.
Menerusi satu lagi ciapan beliau, Neelofa turut menyeru orang ramai agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu hanya keluar rumah bila perlu dan yang paling penting saling menjaga antara satu sama lain.
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diletakkan di bawah PKPB bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober 2020 sementara Sabah bermula 13 Oktober dan berakhir pada 26 Oktober 2020. - CARI |