Kredit foto: Facebook Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan penulis-penulis media sosial Pakatan Harapan (PH) kononnya Datin Seri Rosmah Mansor telah diluluskan untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM800.
Malah, beliau memberitahu, isterinya tidak pernah memohon BPN dan tidak menerima pesanan ringkas tentang kelayakannya menerima bantuan tersebut.
"Dalam laman web untuk semak Bantuan Prihatin pun tiada rekod.
"Kita sedia maklum bahawa penulis media sosial adalah pakar gambar dan video edit," jelasnya melalui laman Facebook miliknya.
Walau bagaimanapun, kata Najib, sekiranya perkara itu benar dan wang RM800 itu dibayar secara automatik ke dalam akaun bank isterinya, ia akan disumbangkan kepada Tabung COVID-19 yang diwujudkan kerajaan.
Beliau turut menasihatkan sesiapa sahaja yang menerima bantuan tersebut secara automatik walaupun mereka tidak memerlukannya supaya menyalurkan kembali wang yang diterima kepada tabung berkenaan.
Kredit foto: Facebook Najib Razak
"Dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 16010001138714 (Bank Muamalat - Tabung Bantuan Bencana Negara).
"Inilah cara paling mudah untuk mengembalikan wang tersebut kepada kerajaan," katanya.
Secara berseloroh, Najib berpesan kepada orang ramai agar jangan tersalah hantar wang sumbangan kepada Tabung Harapan.
Pelik juga apabila PH masih 'menyerang' Najib walaupun beliau kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). - CARI |