Jauhi kampung kami...
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/556824/jauhi-kampung-kami
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 11:58 AM
Adnan Ibrahim
[email protected]

ORANG Asli Sungai Peroh dan Sedohok Kluang menutup jalan daripada dilalui orang luar. FOTO Ihsan penduduk.
KAMPUNG Orang Asli Sungai Peroh dan Sedohok di Kluang menyekat kemasukan orang luar ke kawasan perkampungan itu sejak empat hari lalu sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Yusry Abdullah berkata, pihaknya tidak berhasrat membuat sekatan jalan namun mengambil pendekatan memasang papan tanda peringatan supaya orang luar tidak memasuki kampung berkenaan.
Menurutnya, sekatan jalan tidak boleh dilakukan memandangkan banyak lagi kawasan penempatan yang berada di bahagian belakang kampung itu seperti Ladang Mutiara, Kampung Orang Asli Peta dan Kampung Orang Asli Pucur.
“Penduduk di kampung ini sudah mematuhi sepenuhnya perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan kerajaan dengan duduk dalam rumah masing-masing.
“Malah, untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian kami hanya mewakilkan beberapa penduduk yang sihat untuk keluar ke pekan Kahang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, penduduk di Kampung Orang Asli Sedohok menutup kedua-dua jalan masuk ke kampung berkenaan sebaik perintah kawalan pergerakan dikuatkuasa.
Tok Batinnya, Halim Jahari berkata, memandangkan kampung berkenaan antara satu jalan pintas ke Kampung Orang Asli Kuala Sengka dan Sungai Pasir langkah penutupan jalan terpaksa dilakukan dan hanya mereka yang mengalami kecemasan dibenarkan melaluinya.
“Pengusaha ladang persendirian perlu menggunakan jalan lain untuk ke ladang milik mereka kerana kami tidak mahu wabak Covid-19 tersebar di kampung ini sedangkan semua penduduk sudah berusaha mematuhi perintah dikeluarkan kerajaan.
“Penduduk juga tidak berhadapan dengan masalah bekalan makanan kerana persiapan awal dilakukan,” katanya.
|