Edited by EJALTI at 22-1-2020 01:37 AM
Kantin sekolah ala hotel
https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/537296/kantin-sekolah-ala-hotel
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:00 PM
Nor Farhani Che Ad
[email protected]
SUSUN atur kerusi umpama suasana restoran hotel. FOTO Nor Farhani Che Ad
SEPERTI menikmati hidangan makanan di hotel, itu suasana yang dapat dirasai di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Wang di Sungai Petani.
Pengusahanya, Mohd Fahmi Ahmad, 36, berkata kantin berkenaan diusahakan bersama isterinya Nadirah Azizan, 36, sejak awal bulan lalu.
Katanya, idea menghiasi kantin sekolah itu dengan konsep ala hotel adalah bagi memberi kelainan sekali gus memberi suasana dan ‘mood’ berbeza kepada guru dan murid.
SUASANA kantin SK Taman Seri Wang. FOTO Nor Farhani Che Ad
Beliau berkata, konsep berkenaan pada awalnya dilakukan di sebuah lagi kantin sekolah yang diusahakan mereka iaitu di SK Pauh Jaya, Pulau Pinang.
“Dekorasi kantin sekolah SK Pauh Jaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun lalu.
“Jadi, apabila kami diberi tanggungjawab menguruskan kantin sekolah ini, kami cuba bawa konsep sama di kantin sekolah ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, bukan sekadar hiasan yang menarik, kantin itu juga turut menyediakan pelbagai menu makanan istimewa dengan harga berpatutan.
TEMPAT makanan dihidangkan. FOTO Nor Farhani Che Ad
Sementara itu, guru besar sekolah, Mohd Effendi Abdul Rahman memuji usaha dilakukan yang bukan saja cantik dan selesa malah teratur.
Katanya, sejak inisiatif itu dilakukan di kantin sekolah berkenaan, beliau dapat melihat keterujaan guru dan murid untuk ke kantin setiap kali waktu rehat.
“Selain menikmati makanan, murid juga dilihat banyak menghabiskan masa rehat mereka di kantin berbanding bermain di kawasan sekitar sekolah.
“Guru juga dilihat lebih bersemangat dan ceria selepas suasana kantin sekolah berubah,” katanya.
HIASAN dalaman kantin SK Taman Seri Wang. FOTO Nor Farhani Che Ad
Effendi berkata, pihak sekolah sentiasa memberi sokongan kepada pengusaha kantin untuk melakukan penambahbaikan dalam usaha memastikan kantin sentiasa dalam keadaan teratur, bersih dan cantik.
|