Lokasi nahas pesawat MH653 di Tanjung Kupang, Johor. Kredit foto: Facebook
Selain misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, persoalan membabitkan insiden rampasan pesawat MH653 yang berlaku pada 4 Disember 1977 masih belum dapat dirungkai sehingga kini.
Memetik maklumat dalam laman Facebook Aviation Accidents / This Day in History, pesawat Boeing 737-2H6 itu berlepas pada pukul 7.21 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
Ketika kapal terbang itu turun ke aras 4000 kaki menghampiri Kuala Lumpur, juruterbang melaporkan pesawat telah dirampas dan perampasnya mendesak penerbangan diteruskan ke Singapura.
Bangkai pesawat MH653. Kredit foto: Facebook
Tidak berapa lama kemudian, dilaporkan perampas menembak kedua-dua juruterbang sebelum menembak dirinya sendiri.
Rakaman kotak hitam membayangkan kemungkinan perampas memecah masuk ke dalam kokpit dan seorang penyiasat membuat spekulasi tentang seorang individu cuba mengemudi pesawat selepas kedua-dua juruterbang dibunuh.
Namun, usaha itu gagal dan menyebabkan pesawat menjunam secara mendadak sebelum terhempas ke dalam kawasan paya berhampiran Tanjung Kupang, Johor.
Pihak berkuasa melakukan siasatan di lokasi nahas. Kredit foto: Facebook
Pesawat itu hancur manakala semua 93 penumpang dan tujuh kru pesawat MH653 terkorban dalam nahas udara paling buruk di Malaysia.
Antara yang terbunuh ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid dan Duta Besar Cuba ke Jepun, Mario Garca Inchustegui.
Mereka dikebumikan di Memorial Tragedi Tanjung Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.
Memorial Tragedi Tanjung Kupang. Kredit foto: Facebook
Identiti dan motif perampas pesawat tersebut tidak diketahui dan masih menimbulkan tanda tanya sehingga hari ini. - CARI |