Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dia juga menuntut ganti rugi RM2 juta kerana mufti itu dikatakan telah mengeluarkan ucapan berbaur fitnah berhubung jawatan dan kerjayanya.
Sinar Harian melaporkan Zamihan memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudinali & Co di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 2.30 petang semalam.
Kredit foto: Carian internet
Difahamkan, Zamihan mendakwa Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali melalui artikel bertajuk 'Bukan Perlis sahaja' dan diterbitkan pada 14 Oktober 2018 dan sesi forum SOSM yang bertajuk 'Siapa Pengganas & Potensi salahguna Kuasa' di Petaling Jaya pada 9 Februari lalu.
Antara lain, kenyataan fitnah itu didakwa membawa maksud dia tidak berkelulusan dalam bidang syarak, akidah dan hukum Islam serta didakwa seorang pengganas.
Akibatnya, dia mendakwa dirinya difitnah teruk dan dipandang hina di mata masyarakat.
Selain ganti rugi am RM2 juta, Zamihan turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta permohonan maaf. - CARI |