Tidak dinafikan teknologi pengklonan adalah sesuatu yang menakjubkan. Bayangkan seekor haiwan yang telah mati boleh diklon semula menggunakan genetik haiwan berkenaan.
Namun begitu, jika tidak dikawal, teknologi ini boleh juga membinasakan kita dan mengganggu keseimbangan ekosistem.
Di Hong Kong, sekumpulan penyelidik China telah menghasilkan lima ekor anak monyet yang lahir daripada teknologi klon. Apa yang lebih mengejutkan ialah, kandungan genetik monyet-monyet itu telah diubah supaya ia mempunyai penyakit mental.
Kredit foto: todayonline.com
Kumpulan penyelidik dari Chinese Academy of Sciences itu menggunakan alat pengubah genetik yang dikenali sebagai CRISPR atau Cas9 untuk menyingkirkan gen BMAL1 dari embrio sihat.
Tanpa gen BMAL1, jam biologi haiwan akan terganggu. Ekoran itu, akan timbul berbagai penyakit, masalah gangguan tidur, hiperaktif waktu malam, penyakit hormon, depresi dan skizofrenia.
Kesemua monyet dilahirkan dengan gen yang sama, termasuklah mutasi pada gen.
Buat masa kini, China adalah satu-satunya negara yang memiliki teknologi untuk mengklon primat (mamalia).
Penggunaan monyet klon akan membolehkan penyelidik menggunakan dos dadah ubat yang sama dan memperolehi keputusan yang tepat apabila eksperimen dijalankan.
Menurut penyelidik China berkenaan, ia adalah lebih baik berbanding menggunakan sejumlah haiwan eksperimen yang sihat kerana kesan dadah ubat terhadap setiap haiwan adalah berbeza. Justeru, sukar untuk mendapatkan keputusan yang konsisten.
Dengan penciptaan monyet klon yang berpenyakit ini juga, ia secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah spesies monyet atau beruk yang digunakan dalam eksperimen bio-medik di seluruh dunia.
Tambahan lagi, dengan penghasilan primat yang mempunyai masalah jam biologi badan, rawatan untuk pelbagai penyakit seperti masalah tidur, diabetes, dan kanser yang melanda manusia akan dapat dihasilkan.
Walau bagaimanapun, penghasilan monyet klon yang dimutasikan dengan sengaja ini, mendapat kritikan hebat kerana isu moral dan etika penganiayaan terhadap haiwan.
Apa pendapat anda? Patutkah ia diteruskan demi penyelidikan? -CARI |