|
Macam babak filem aksi! Seorang lelaki nekad terjun ke belakang tempat menyimpan barang pacuan empat roda milik majikannya dalam usaha menyelamatkan kenderaan itu daripada dilarikan dua penyamun.
Memetik Harian Metro, kejadian 12.20 tengah hari, kelmarin itu berlaku di Kampung Bukit Belacon, Segama, Lahad Datu.
Tindakan nekadnya itu menyebabkan dia luka di kaki dan tangan kanan akibat terseret daripada kenderaan pacuan empat roda yang cuba dilarikan suspek.
Difahamkan, mangsa berusia 39 tahun itu pulang ke rumah untuk mengambil bekalan makanan. Bagaimanapun, mangsa membiarkan enjin hidup apabila dia memberhentikan kenderaan milik majikan yang dipandunya itu di hadapan rumah.
Menurut sumber, seorang lelaki memakai penutup muka tiba-tiba keluar dari kereta Proton Saga sebelum menghampiri mangsa yang baru keluar dari kenderaannya dengan mengacukan pisau.
“Bimbang keselamatannya terancam, mangsa mengundurkan diri. Suspek itu masuk ke dalam kenderaan mangsa dan beredar dari lokasi berkenaan.
“Ketika kenderaan itu bergerak, mangsa melompat ke belakang tempat menyimpan barang dan suspek yang menyedari tindakan mangsa terus memecut laju kenderaan berkenaan,” katanya.
Foto: Harian Metro
Mangsa mencapai sebatang besi dan memecahkan cermin di bahagian pemandu, lalu memukul suspek.
“Akibat pukulan itu, kenderaan dipandu suspek melanggar besi penghadang jalan sebelum memberhentikan kenderaan berkenaan di tengah jalan.
“Mangsa cuba menerkam suspek, tetapi lelaki itu yang disyaki cedera melarikan diri dengan menaiki kereta yang dipandu rakannya,” katanya.
Sejurus itu, mangsa menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan selepas memaklumkan kejadian kepada majikannya.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dengan ambulans,” katanya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dan siasatan lanjut dijalankan. - CARI |
|