Universiti Selangor (UNISEL) di Shah Alam dan pejabat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Selasa.
Harian Metro melaporkan, 11 pegawai penyiasat SPRM terbabit dalam serbuan itu yang dipercayai berhubung isu pertikaian kontrak antara UNISEL dengan syarikat konsesi, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Foto: BH Online
Dua pegawai dilihat tiba di bangunan Darul Ehsan di Seksyen 14 yang menempatkan pejabat MBI di tingkat 14 pada jam 10.43 pagi sebelum disusuli tiga lagi pegawai 10 minit kemudian.
Sementara itu, enam pegawai lain memasuki bahagian pentadbiran UNISEL kampus Shah Alam di Seksyen 7 diiringi pegawai universiti terbabit.
Foto: mStar Online/The Star
Selain itu, pejabat JNSB di Desa Pandan dan kampus induk UNISEL di Bestari Jaya turut tak terkecuali daripada serbuan SPRM.
Pada 8 Julai lalu, Ketua Pemuda UMNO Kelana Jaya, Maisham Maarof membuat laporan kepada SPRM Selangor berhubung isu penyelesaian membabitkan UNISEL dan syarikat kontraktor itu yang didakwa meragukan.
Dia mendakwa penyelesaian pertikaian oleh MBI dan Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) membabitkan jumlah puluhan juta ringgit selain mempertikaikan tindakan UNISEL menganugerahkan kontrak baru kepada JNSB yang didakwanya melanggar perjanjian konsesi terdahulu.
Serbuan itu disahkan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani dan kenyataan media akan dikeluarkan selepas ini. - CARI |